Walau Pas hentam tapi RCI iktiraf: 24 bulan jadi menteri, Mujahid selamatkan Tabung Haji

Oleh JAMZURI ARDANI

Masalah utama Tabung Haji ialah ia cuba berfungsi di luar dari objektif asalnya.

Objektif asal penubuhan Tahung Haji ialah agar ia berfungsi sebagai institusi tabungan untuk umat Islam menunaikan haji.

Penubuhan Tabung Haji bukan bermatlamat untuk memberi subsidi kepada jemaah haji, dan ia juga bukan sebagai instrumen pelaburan.

Apabila Tabung Haji dibebankan dengan fungsi memberi subsidi kos haji dan memberi pulangan tinggi ke atas simpanan, maka agensi itu mula melabur dalam sektor yang berisiko tinggi untuk mendapat pulangan besar bagi menampung subsidi dan dividen yang tinggi.

Seperti yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, Tabung Haji bukanlah agensi yang kompeten untuk beroperasi sebagai pelabur berisiko tinggi untuk mendapat pulangan yang tinggi.

Lebih parah apabila ahli politik yang dilantik ke agensi tersebut mengambil peluang menjarah wang simpanan umat Islam tersebut.

Menteri Agama yang pertama menimbulkan isu ‘istitho’ah’ dalam mengerjakan ibadah haji adalah Dr Mujahid.

Beliau sedar, bebanan subsidi yang tinggi yang ditanggung oleh Tabung Haji adalah kerana kurangnya kefahaman terhadap konsep istitho’ah di dalam mengerjakan ibadah haji di kalangan umat Islam.

Dibantah keras

Walaupun pada awalnya pandangan Dr Mujahid dibantah keras oleh beberapa pihak, tetapi ternyata pandangan beliau diperakui oleh menteri-menteri agama selepasnya yang turut menekankan peri penting konsep istitho’ah ini difahami.

Dr Mujahid juga semasa menjadi Menteri Agama telah mengambil langkah berani membuat penstrukturan semula aset Tabung Haji bagi menyelamatkan agensi tersebut dari kerugian besar akibat kegagalan pelaburan dan rosot nilai aset yang dialami oleh Tabung Haji.

Walaupun beliau berhadapan dengan kecaman dan fitnah yang teruk terutamanya dari kalangan pemimpin Pas, terbukti tindakan tersebut telah berjaya menyelamatkan Tabung Haji. Ini diperakui oleh laporan RCI TH.

Saya bukan jenis manusia yang suka mengagungkan pemimpin politik. Tetapi, Dr Mujahid wajar mendapat kredit yang selayaknya di atas kerja buat beliau sebagai Menteri Agama dalam tempoh sekitar 24 bulan beliau memegang amanah tersebut.

Beliau bijak, berani, dan mampu melakukan apa yang sepatutnya di saat krisis besar melanda. Seorang pemimpin itu diuji ketika berhadapan dengan krisis, dan Dr Mujahid telah melepasi ujian tersebut dengan cemerlang.

Laporan RCI TH adalah sijil kecemerlangan tersebut.

BACA JUGA Baru menang sudah berebut jawatan, syor Timbalan Exco bongkar nafsu kuasa di sebalik ‘penyatuan Melayu’