Dr. Goh rayu kepastian selepas sembilan tahun, MHO gesa siasatan dipercepat

FOTO BERITA: Sidang Media oleh MHO berkaitan laporan polis Dr. Goh Swee Por 9 tahun lalu bagi mendapatkan perkembangan siasatan di Pejabat MHO Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 6hb Ogos 2026 (Khamis)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara segera, telus dan profesional terhadap beberapa laporan polis yang dikemukakan oleh Dr. Goh Swee Por sejak 2017, yang didakwa masih belum menunjukkan perkembangan substantif selepas sembilan tahun. Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata pertubuhan itu membangkitkan perkara berkenaan bagi memastikan setiap laporan yang dibuat oleh mana-mana pengadu diberikan perhatian sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

Menurut beliau, laporan-laporan polis tersebut berkaitan pertikaian yang melibatkan Dr. Goh dan bekas isterinya, yang turut mempunyai implikasi terhadap prosiding keluarga serta hak akses beliau terhadap anaknya. Namun, MHO menegaskan bahawa pertubuhan itu tidak mengambil sebarang pendirian terhadap merit pertikaian antara pihak-pihak berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta mahkamah untuk membuat penentuan berdasarkan undang-undang.

MHO memaklumkan bahawa peguam yang mewakili Dr. Goh telah mengemukakan beberapa surat susulan kepada Jabatan Pendakwaan Negeri Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mendapatkan perkembangan kes tersebut. Difahamkan, Jabatan Pendakwaan Negeri Selangor turut mendapatkan maklum balas daripada IPD Petaling Jaya berhubung kertas siasatan, namun jawapan yang diterima masih belum memberikan kepastian mengenai status sebenar siasatan atau tindakan susulan yang akan diambil.

Selain itu, pelbagai dokumen sokongan turut dikemukakan kepada pihak berkuasa bagi membantu proses siasatan. MHO sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak membuat sebarang penilaian terhadap kandungan dokumen tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneliti serta menilai bukti mengikut proses perundangan.

Menurut MHO, kelewatan yang didakwa berpanjangan itu memberi kesan besar kepada Dr. Goh, khususnya dalam usahanya mempertahankan hak sebagai seorang bapa. Sehubungan itu, beliau berharap semua laporan yang telah dikemukakan dapat disiasat secara menyeluruh supaya setiap fakta yang berkaitan dapat dinilai secara adil.

Dalam kenyataannya, MHO turut menjelaskan bahawa gesaan tersebut bukan bertujuan mempengaruhi mana-mana prosiding mahkamah yang masih berjalan atau membuat sebarang penghakiman terhadap mana-mana individu. Sebaliknya, ia dibuat bagi menyeru supaya setiap laporan polis diberikan perhatian sewajarnya serta disiasat secara profesional, telus dan tanpa kelewatan yang tidak munasabah.

MHO berpandangan bahawa keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan bergantung kepada keupayaan institusi penguatkuasaan menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan saksama berdasarkan fakta serta keterangan yang dikemukakan. Menurut pertubuhan itu, setiap pengadu berhak mengetahui perkembangan munasabah terhadap laporan yang dibuat.

Dalam kenyataan sama, Dr. Goh berkata beliau tidak mengharapkan layanan istimewa, sebaliknya hanya mahu laporan-laporan polis yang dikemukakan bersama dokumen sokongan diberikan perhatian sewajarnya serta disiasat mengikut proses undang-undang yang adil, telus dan profesional.

“Sembilan tahun telah berlalu sejak laporan pertama saya dibuat. Bersama peguam saya, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengemukakan surat-surat susulan dan dokumen sokongan kepada pihak berkuasa. Saya tidak meminta layanan istimewa. Saya hanya berharap laporan-laporan tersebut diberikan perhatian sewajarnya dan disiasat secara profesional, telus dan adil supaya saya memperoleh kepastian bahawa proses keadilan berjalan sebagaimana yang sepatutnya,” katanya.

MHO berharap Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan dapat memberikan perhatian sewajarnya terhadap perkara tersebut serta memaklumkan perkembangan siasatan kepada Dr. Goh dalam tempoh yang munasabah demi memelihara keyakinan masyarakat terhadap sistem penyampaian keadilan negara.