KPDN Selangor rampas barangan bernilai lebih RM700,000 dalam serbuan gudang di Klang

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor berjaya membongkar kegiatan penyimpanan dan pengedaran topi keledar motosikal yang disyaki tidak mematuhi peraturan penandaan keselamatan serta barangan tiruan dalam satu serbuan bersepadu di sebuah gudang di Klang, hari ini. (Gambar: UKK KPDN Selangor)

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 3 petang itu merupakan hasil risikan dan pemantauan berterusan KPDN Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam operasi berkenaan, empat pekerja warga tempatan, seorang pekerja warga asing serta tiga pengarah syarikat warga tempatan telah diperiksa bagi membantu siasatan.

Hasil pemeriksaan membawa kepada pembukaan dua kes berasingan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagangan 2019. Bagi kes pertama di bawah Perintah Perihal Dagangan 2011 (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012, KPDN menyita sebanyak 1,413 unit topi keledar yang disyaki tidak mematuhi peraturan penandaan keselamatan dengan anggaran nilai rampasan RM211,950.

Dalam kes kedua pula, pihak penguat kuasa menyita 700 unit barangan yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019. Nilai rampasan bagi barangan tersebut dianggarkan RM490,000. Secara keseluruhannya, nilai rampasan dalam operasi bersepadu itu dianggarkan berjumlah RM701,950.

Menurut KPDN Selangor, bagi kesalahan di bawah Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berikutnya. Individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah, manakala individu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjarakan sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Pengarah KPDN Negeri Selangor, Muhamad Hanif bin Dato’ Asa’ari, menegaskan kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam pengedaran barangan yang melanggar undang-undang. Beliau berkata operasi itu membuktikan komitmen berterusan KPDN bersama agensi penguat kuasa lain dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan pematuhan undang-undang, melindungi hak harta intelek serta menjamin keselamatan pengguna.

KPDN turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan yang disyaki melanggar undang-undang melalui WhatsApp 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.