Nurul Izzah ambil cuti daripada jawatan Timbalan Presiden, Saifuddin memangku tugas
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan memberi cuti sementara kepada Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar, selepas beliau memohon untuk mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, MPP memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendengar penjelasan Nurul Izzah serta pandangan barisan kepimpinan parti.
Menurut MPP, cuti sementara itu akan bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Sehubungan itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Pada masa sama, MPP turut memutuskan jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR akan digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mesyuarat MPP itu turut meneliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
PKR memaklumkan parti menerima serta menghormati keputusan rakyat dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan, selain merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.
MPP juga menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, atas khidmat cemerlang beliau sepanjang dua penggal menerajui pentadbiran negeri.
Bagi Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah dijadual merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 14 Ogos ini.
Dalam perkembangan lain, MPP meluluskan kemasukan 3,533 anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.