Pas mungkin dapat perluas pengaruh ke negeri-negeri dikuasai Umno

Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berisiko membuka laluan lebih luas kepada Pas untuk menembusi kawasan tradisi Umno.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar berkata, antara implikasi paling besar ialah kemungkinan dominasi Umno di kerusi majoriti Melayu semakin terhakis kepada Pas, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi dalam sesebuah gabungan lazimnya bermula dengan prinsip mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu.

Jika formula status quo itu digunakan, katanya, BN hanya mempunyai 23 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia sebagai asas untuk dipertahankan.

“Jika rumus status quo diguna pakai sebagai asas perbincangan, BN hanya bermula dengan 23 kerusi untuk dipertahankan.

“Ini bermakna sebahagian besar kerusi dalam segmen Melayu akan ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Hisommuddin Bakar

Menurutnya, keadaan itu berpotensi menyebabkan BN terpaksa bertanding di kerusi bercampur atau kawasan yang kurang menguntungkan, sedangkan sebahagian besar kerusi majoriti Melayu berkemungkinan diperuntukkan kepada PN.

Untuk rekod, daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, BN kini hanya menyandang 23 kerusi.

Ruang strategik

Selain isu pembahagian kerusi Parlimen, Hisommuddin berkata, kerjasama BN-PN itu membuka ruang strategik yang luas kepada Pas untuk meluaskan pengaruh ke negeri-negeri yang secara tradisinya merupakan cengkaman kuat Umno, seperti Pahang, Perak, dan Selangor.

Dalam masa sama, beliau berkata, keupayaan jentera Pas yang bergerak secara berdikari di peringkat akar umbi menjadikan mereka rakan kerjasama yang sukar ditandingi dari segi ketahanan lapangan.

Hisommuddin turut membangkitkan satu lagi cabaran utama, iaitu penentuan calon Perdana Menteri jika gabungan BN-PN berjaya membentuk kerajaan.

Menurutnya, PN terutama Pas berpotensi meraih jumlah kerusi yang lebih dominan berbanding Umno, sekali gus meletakkan Umno dalam posisi sukar untuk menuntut semula kepimpinan utama negara.

“Persoalannya, sanggupkah Umno dan BN melepaskan penguasaan tradisional ini demi sebuah kerjasama pragmatik?” kata Hisommuddin lagi.

BACA JUGA Prestasi diterajang sentimen, apa formula sekat gelombang politik identiti?