PN hancur pun pengundi muda rupanya tak tahu, tanya ChatGPT baru sedar

Ilham Centre mendedahkan bahawa pengundi muda tidak mengetahui parti mana yang sedang disokong termasuk perpecahan Perikatan Nasional (PN) sehingga mempengaruhi corak pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar berkata, ramai daripada pengundi muda tidak mengetahui bahawa hubungan antara Pas dan Bersatu sudah bergolak sejak lebih dua tahun lalu.

Malah, katanya, berdasarkan hasil kajian serta temu bual bersama pengundi muda, didapati pengundi kali kedua masih mencari calon PN ketika mengundi di Johor, walaupun gabungan itu tidak lagi bertanding.

“Bila ditanya tahu atau tidak, Pas dan Bersatu dalam PN sudah hancur, mereka tidak tahu. Mereka tanya ChatGPT, barulah tahu.

“Ini benar-benar berlaku walaupun kedengaran seperti lawak,” katanya dalam Wacana Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan hari ini.

Hisommuddin berkata, kekeliruan sama turut dikesan di Negeri Sembilan apabila kehadiran Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dalam kempen menyebabkan sebahagian pengundi menyangka beliau masih berkempen bagi pihak PN.

Menurutnya, apabila jentera Bersatu mengibarkan bendera parti berwarna merah, terdapat juga pengundi Cina yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan kerana menyangka warna berkenaan mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, situasi itu berpunca daripada proses penjenamaan politik yang terlalu lambat sehingga pengundi tidak memahami kedudukan sebenar parti-parti yang sebelum ini bernaung di bawah PN.

Dalam kekeliruan itulah, jelasnya, Pas dan Wawasan memperoleh kelebihan kerana kedua-duanya sudah mempunyai penjenamaan yang lebih kukuh dalam kalangan pengundi yang pernah menyokong PN.

Sebaliknya, Bersatu menjadi pihak paling rugi di Negeri Sembilan apabila sebahagian pengundi gagal memahami kedudukan dan identiti baharu parti itu selepas keretakan bersama Pas.

“Di Johor pula, Bersatu rugi kerana pengundi Pas tidak mengundi Bersatu. Dah lama Pas-Bersatu bergaduh, maka perpindahan undi tidak berlaku,” kata Hisommuddin lagi.

BACA JUGA Prestasi diterajang sentimen, apa formula sekat gelombang politik identiti?