Ulama Umno tegur jangan jadikan kematian bahan sindiran politik

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membuat teguran terbuka supaya tidak menjadikan sindiran kematian sebagai bahan politik. 

Beliau menasihatkan supaya berpada-pada dalam politik walaupun tidak bersetuju dengan banyak tindakan politik pihak lawan.

“Berpada-pada dalam berpolitik kepartian. Jangan bermusuhan sehingga sindiran kematian menjadi bahan politik.

“Kita tidak bersetuju dengan banyak tindakan politik DAP, tetapi tidak sehingga menjadikan individu pimpinan dan ahli mereka sebagai sasaran sindiran apabila kalah pilihan raya, dengan membabitkan elemen kematian atau ritual yang dikaitkan dengan kematian,” katanya di Facebook.

Teguran itu dipercayai merujuk kepada tindakan Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali yang memulakan hantaran berbaur sindiran terhadap pemimpin DAP selepas kekalahan dalam pilihan raya di Negeri Sembilan.

Pemuda Umno itu sehingga kini berkeras mempertahankan tindakannya yang dianggapnya tidak melanggar syariat, biarpun banyak desakan supaya beliau memohon maaf kerana sudah melewati batas sepatutnya.

BACA JUGA Onn Hafiz tak perlu salahkan KKM, rakyat nak penyelesaian bukan tuding menuding