Adat dijaja, kaum dibakar: Ini padahnya bila ‘ruwaibidah’ kuasai pentas politik

Oleh SAYED MUNAWAR SAYED MUSTAR
Ruwaibidah – Si akal senteng nan bebal
Bab 1: Adat

“Ikutlah adat. Ditinggal adat, runtuhlah masyarakat.”

Juak masing-masing bertepuk sambil bersorak, “betul! Betul! Kena pegang adat”.

Songkok diperaga sedikit senget, ternampaklah estetik gaya pakar adat.

Kalau diselit dua tiga kerat pantun dalam bicara, mudah-mudahan bertambah wibawa kata, agaknya.

Media pun berdulu-kemudian ‘memberi muka’ kerana ini bakal menjentik algoritma berita mereka yang sebelumnya sendu. Soal wibawa dipersetankan dahulu.

Ini kesempatan untuk cari makan. Sebut bab makan, pucuk dicita, ulam pun mendatang.

A kata pihaknya betul memegang adat. B dakwa pihaknya pendukung adat yang tulen.

Penyokong masing-masing mendidih panas merasakan yakin diri di pihak yang benar.

Sudah tentu salah satu daripadanya salah. Tidak mungkin dua-dua di pihak yang benar.

Soalnya, siapa yang benar-benar tulus cuba meluruskan kata bicara?

Siapa sebenarnya telah melanggar adat? A atau B?

Jika diolah anekdot ini umpama bergebang di kedai kopi, mungkin cuit-cuitnya berbunyi begini:

‘Di antara keduanya, siapakah yang sebenarnya si Kitol dan siapa pula Tun Perak-nya?’

Teringat 50 tahun dahulu Prof Syed Hussein Alattas mengupas bahana bebalisme dalam kalangan masyarakat.

Kritik berat beliau berikan dengan awas seandainya golongan bebal memegang tampuk kuasa.

Kini, terasa benar bagaimana watak putar alam menjadi pemain dominan dalam pentas siasah negara?

Ya pentas siasah.

Bukan pentas adat (pun).

Bab 2: Rasis

A bilang talkinkan si polan si polan yang bukan Melayu itu.

Kembalikan hak kepada anak bangsa. Ini tanah air bangsa asalnya.

Tolak semua pihak yang menolak Islam sebagai agama Persekutuan termasuk semua yang bersekongkol dengan kelompok harbi itu, meski penyekongkol itu berprestasi. Agama lebih tinggi dari mana-mana individu.

B kata A mengundi atas laras kaum, bukan mengukur prestasi.

“A rasis kerana mendahulukan kaumnya sendiri meski terbukti sosok tertentu dari kaumnya itu khianati amanah umat (sambil merujuk RCI Tabung Haji).”

A membidas, “B rasis kerana menuduh A rasis walhal A menegakkan tuntutan agama”.

A kata B rasis, B kata A yang rasis. Kedua-dua hujah bertolak dari premis yang sama.
Periuk kata kuali hitam. Tamat.

Tipu daya

Sekilas teringat hadis Nabi SAW menceritakan tentang bakal tibanya saat tahun-tahun yang penuh tipu daya.

Kini ia bukan ‘bakal’ lagi. Inilah tahun-tahunnya.

Tahun tipu daya: Penipu dikata benar, orang yang benar dikatakan penipu. Amanah diberi kepada pengkhianat dan yang amanah dituduh mengkianat.

Tidakkah kita sedang menyaksikan penzahiran itu di depan mata di tengahari rembang kini, hampir saban hari?

Moga Allah SWT menyelamatkan kita dari tipu daya duniawi.

[Hadis]

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَاوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipu daya. Pada waktu itu, orang yang berdusta akan dibenarkan (dipercayai), manakala orang yang benar akan didustakan. Orang yang khianat akan diberikan amanah, manakala orang yang amanah akan dikhianati. Dan pada ketika itu, Ar-Ruwaibidah akan bercakap.”

​Para sahabat bertanya: “Apakah itu Ar-Ruwaibidah?” Rasulullah SAW menjawab:

​ الرَّجُلُ التَّافِهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Iaitu orang yang remeh/bodoh/kurang ilmu, tetapi bercakap (mengulas) urusan orang ramai (perkara-perkara besar/umum).”

​(Hadis Riwayat Ibn Majah, No. 4036. Dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albani)

*SAYED MUNAWAR SAYED MUSTAR merupakan pengacara dan penyampai RTM juga penerbit, jurulatih profesional serta advokator kandungan, dengan pengalaman lebih 27 tahun dalam bidang penyiaran dan pengendalian temu bual dasar serta isu semasa.

BACA JUGA Selepas 10 kali dipanggil SPRM, Ismail Sabri akhirnya ke mahkamah pagi ini