Bulan Rakan Demokrasi dilancar, KBS perkasa literasi politik dan kepimpinan belia

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Bulan Rakan Demokrasi, Kuasa Orang Muda 2026 bersama YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan di Lobi Menara KBS, Putrajaya. 7hb Ogos 2026 (Jumaat)

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Bulan Rakan Demokrasi menerusi inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM) sebagai usaha memperkukuh literasi politik, demokrasi dan kepimpinan dalam kalangan belia di seluruh negara. Majlis pelancaran yang berlangsung di Lobi Menara KBS itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari. Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Rahimi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir.

Dalam ucapannya, Dr. Mohammed Taufiq berkata inisiatif nasional di bawah payung Rakan Muda itu bertujuan melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berfikiran kritis serta mampu membuat keputusan secara matang dan bertanggungjawab dalam menghayati amalan demokrasi. Beliau berkata, sepanjang Bulan Rakan Demokrasi, pelbagai program akan dilaksanakan di seluruh negara bagi meningkatkan penglibatan belia dalam isu-isu kenegaraan dan pembangunan masyarakat.

Antara acara utama ialah Festival Kuasa Orang Muda x Mega Careers & Study Fair (MCASF) 2026 yang dijadual berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Festival berkenaan menggabungkan elemen pembangunan kerjaya, pendidikan serta pemahaman mengenai tadbir urus negara bagi memastikan golongan muda bukan sahaja bersedia memasuki alam pekerjaan, malah memahami peranan mereka sebagai warganegara.

Selain itu, KBS turut menggerakkan pelbagai program lapangan menerusi Street Team, reruai interaktif dan Siri Jelajah KOM ke institusi pengajian tinggi serta lokasi tumpuan awam di seluruh negara, termasuk Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Merlimau dan MAHSA University. Inisiatif itu juga diperluaskan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai program komuniti seperti Pasar Siswa di Pahang, Business Festival di University College MAIWP International (UCMI), Kuala Lumpur serta Lorong Belakang di Cyberjaya.

Bagi melengkapkan pendekatan secara fizikal, platform digital KOM menyediakan modul e-pembelajaran berkaitan polisi awam dan sosioekonomi tempatan melalui portal belajar.kuasaorangmuda.com. Platform itu turut memperkenalkan komponen Suara Kuasa Orang Muda, yang berfungsi sebagai saluran menghimpunkan serta menganalisis aspirasi golongan muda secara berstruktur, inklusif dan neutral untuk pertimbangan pembuat dasar.

KBS turut menyeru seluruh anak muda di Malaysia agar memanfaatkan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang Bulan Rakan Demokrasi dengan mendaftar secara percuma melalui portal KOM, sekali gus memperkukuh pengetahuan, menyuarakan pandangan dan menyumbang kepada pembentukan masa depan negara.