KBS Terus Sokong SUKMA Selangor, RM1 Juta Disalur Untuk Keperluan Teknikal

PUTRAJAYA, 7 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Selangor bagi memastikan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor dapat dilaksanakan dengan lancar, meskipun sebarang peruntukan tambahan perlu mendapat persetujuan Kabinet.
Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata keputusan sebelum ini menetapkan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA, dengan pelaksanaan temasya itu mengambil kira langkah penjimatan serta kemampuan kewangan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pada peringkat awal, Sultan Selangor pernah menyarankan supaya penganjuran SUKMA Selangor dibatalkan sebagai langkah penjimatan.
“Namun, selepas saya menghadap Tuanku Sultan Selangor dan memberikan penjelasan, Tuanku bersetuju supaya SUKMA Selangor diteruskan dengan langkah-langkah penjimatan.
“Maknanya ada potongan dari segi bajet yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri itu sendiri,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, hasil perbincangan dalam Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, kos penganjuran akan ditanggung kerajaan Selangor, manakala KBS mengambil pendekatan membantu dari aspek teknikal, fasiliti serta beberapa keperluan berkaitan.
Dr. Mohammed Taufiq berkata KBS telah menyalurkan RM1 juta bagi keperluan kepegawaian dan teknikal temasya, selain RM350,000 kepada 54 ketua delegasi teknikal yang mewakili setiap jenis sukan.
KBS turut memperuntukkan RM100,000 bagi pelaksanaan proses klasifikasi atlet Para SUKMA dan RM300,000 bagi program kawalan doping yang dikendalikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Selain bantuan kewangan, katanya, KBS turut menyediakan penggunaan fasiliti di bawah seliaan kementerian, termasuk Kompleks Belia dan Sukan di Selangor pada kadar minimum serta kadar khas.
“Semua fasiliti di bawah kelolaan KBS juga kita akan bantu fasilitasi untuk memastikan SUKMA Selangor ini dapat dijayakan,” katanya.
Beliau berkata, pada asalnya kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM100 juta bagi penganjuran SUKMA dan memohon dana tambahan daripada KBS.
Bagaimanapun, langkah penjimatan yang dipersetujui Sultan Selangor berjaya mengurangkan kos penganjuran lebih daripada 50 peratus.
“Saya percaya Selangor mampu untuk melaksanakan dengan sebaik mungkin dan disokong oleh KBS melalui fasiliti serta beberapa bantuan yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mohammed Taufiq berkata sebarang permohonan peruntukan tambahan perlu dibawa semula ke Kabinet kerana ia tidak diperuntukkan dalam bajet KBS bagi tahun ini.
Beliau turut berharap satu mekanisme atau peraturan yang lebih jelas berkaitan lokasi, pembiayaan dan pengurusan penganjuran SUKMA dapat diwujudkan pada masa akan datang bagi memastikan pengurusan temasya lebih tersusun.
“Kita di peringkat KBS sentiasa memberikan sokongan dan dokongan agar SUKMA Selangor ini dapat berjalan dengan baik,” katanya.