Agong titah siasat ‘hingga ke lubang cacing’, jangan ada terlepas jika bersalah
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya siasatan berhubung isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilaksanakan secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak.
Lebih tegas, Seri Paduka Baginda mahu siasatan berkenaan dilakukan sehingga ke lubang cacing bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab tidak terlepas daripada tindakan sewajarnya.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Seri Paduka Baginda.

Titah itu disampaikan selepas Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan selama lebih sejam di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji, selain perkembangan semasa membabitkan FELDA.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan negara dengan menitahkan kementerian dan agensi berkaitan meningkatkan kawalan di semua lapangan terbang serta pintu masuk negara.
Menurut Seri Paduka Baginda, langkah itu penting bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Sultan Ibrahim bertitah lagi, tahap keselamatan di pintu masuk negara perlu terus diperkasa melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
BACA JUGA Hadi tuduh DAP sambung kerja penjajah ‘hapus Melayu Islam’ walau dulu pernah bersama DAP