Bahaya algoritma media sosial, boleh perangkap remaja dan pengaruh tingkah laku – Pakar UPNM

Apakah wajar remaja bawah 16 tahun disekat daripada menggunakan media sosial? Persoalan itu timbul susulan usaha kerajaan memperkenalkan had umur minimum bagi melindungi pengguna muda dalam ruang digital.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mohamed Fadzil Che Din berkata, algoritma media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk corak pemikiran dan tingkah laku pengguna, khususnya dalam kalangan remaja yang masih dalam proses mengenali diri.

Menurut beliau, sistem algoritma direka untuk menyesuaikan kandungan berdasarkan minat pengguna, namun keadaan itu boleh menyebabkan pendedahan berulang kepada maklumat tertentu sehingga membentuk persepsi dan kecenderungan yang sempit.

“Algoritma akan melihat apa yang kita suka dan akan terus membekalkan kandungan yang sama, dan jika tidak dikawal, individu boleh terperangkap dalam kitaran kandungan yang akhirnya mempengaruhi pemikiran, emosi dan tingkah laku mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, pendedahan berlebihan itu berpotensi membawa kepada ketagihan serta pembentukan personaliti yang tidak seimbang jika tidak dipantau dengan baik.

Namun begitu, Mohamed Fadzil menegaskan media sosial tidak harus dilihat sebagai ancaman sepenuhnya, sebaliknya perlu digunakan secara seimbang dan terkawal.

Katanya, pendekatan terbaik adalah dengan mendidik pengguna muda agar memahami cara penggunaan yang betul, termasuk mengelakkan penggunaan berlebihan atau penyalahgunaan platform.