Disingkir Hadi, Bersatu label Samsuri ‘boneka’, mahu heret ke RoS 

Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin panas apabila Bersatu kini bercadang membawa pertikaian status keanggotaannya dalam gabungan itu kepada Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa tindakan Pas yang berulang kali mempertikaikan kedudukan Bersatu dalam PN perlu dihentikan melalui saluran rasmi.

Menurutnya, Pas didakwa melanggar perlembagaan PN serta keputusan Majlis Tertinggi gabungan itu, termasuk menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota.

“Tindakan Pas melanggar perlembagaan PN dan keputusan-keputusan MT PN berulang kali, termasuk menafikan hak parti anggota perlu dilaporkan kepada JPPM agar perbuatan ini dapat dihentikan segera,” katanya.

Kenyataan itu menandakan pertikaian Bersatu-Pas kini bukan lagi sekadar perang kenyataan terbuka, sebaliknya berpotensi dibawa ke peringkat pihak berkuasa pertubuhan.

Tun Faisal menegaskan PN bukan milik Pas dan tidak boleh ditentukan secara sepihak oleh mana-mana pemimpin parti komponen.

Katanya, gabungan itu sepatutnya ditadbir berdasarkan perlembagaan PN, keputusan Majlis Tertinggi serta prinsip menghormati hak setiap parti anggota.

Beliau turut membidas kedudukan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang didakwanya tidak mempunyai kuasa sebenar dalam menentukan hala tuju gabungan itu.

Lebih keras, Tun Faisal mendakwa pusat kuasa sebenar PN bukan berada pada pengerusi gabungan, sebaliknya di Rusila, merujuk kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

“Pengerusi PN sekarang seolah-olah boneka. Pusat kuasa adalah Rusila dan Presiden Pas boleh sewenang-wenangnya mempertikai serta melanggar keputusan MT PN dan berbuat sesuka hati,” dakwanya.

Pertelingkahan itu tercetus selepas Abdul Hadi mendakwa Bersatu bukan lagi anggota PN.

Dakwaan itu dibuat atas alasan hasrat parti pimpinan Muhyiddin Yassin untuk membentuk gabungan politik baharu menyebabkan keahlian Bersatu dalam PN gugur secara automatik.

Bagaimanapun, Bersatu menolak dakwaan tersebut.

Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali sebelum ini menegaskan kedudukan Bersatu dalam PN masih sah dan dakwaan bahawa parti itu terkeluar daripada gabungan tidak berasas.

Perkembangan terbaru itu memperlihatkan hubungan dua parti utama PN semakin tegang selepas beberapa siri percanggahan terbuka membabitkan hala tuju gabungan, kerjasama pilihan raya dan kedudukan Bersatu.

Jika sebelum ini pertembungan Bersatu-Pas lebih banyak dibaca sebagai perang psikologi menjelang pilihan raya negeri, kenyataan Tun Faisal kali ini membawa krisis itu ke tahap lebih serius.

Ancaman untuk membawa perkara itu kepada RoS menunjukkan Bersatu mahu pertikaian tersebut dinilai berdasarkan perlembagaan pertubuhan, bukan hanya keputusan politik Pas.

Bagi pemerhati, isu ini boleh membuka persoalan lebih besar terhadap masa depan PN sama ada gabungan itu masih berfungsi sebagai pakatan setara, atau semakin dikuasai satu pusat kuasa yang menentukan segala keputusan.

Dalam keadaan Pas mahu menentukan formula kerjasama baharu di beberapa negeri, manakala Bersatu pula berdepan dakwaan statusnya dalam PN tidak lagi sah, gabungan pembangkang itu kini dilihat memasuki fasa paling getir sejak ditubuhkan.

BACA JUGA Penyatuan ummah ‘hilang’ bila kerusi Melaka jadi rebutan? Puad sindir BN-PN retorik siang hari