Pondok Kelantan tegur Hadi: Islam tak kuat dengan fitnah, Melayu tak kuat dengan ketakutan

Menurut kenyataan media yang tular dan dikaitkan dengan Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menegur Presiden Pas, Abdul Hadi Awang susulan dakwaannya bahawa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda penjajah untuk menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Pengerusinya, Baba Zulkarnain Harun berkata tuduhan seberat itu tidak wajar dilemparkan tanpa bukti yang jelas dan sahih.

Menurutnya, kenyataan sedemikian bukan sahaja boleh mencetuskan prasangka dan kebencian, malah berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Kami berpandangan bahawa tuduhan sedemikian merupakan suatu fitnah dan dakwaan yang tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti yang jelas dan sahih.

“Tuduhan yang begitu berat bukan sahaja boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baba Zulkarnain berkata pendekatan politik yang berasaskan tuduhan tanpa bukti bercanggah dengan tuntutan syariat yang menekankan keadilan, tabayyun dan larangan membuat sangkaan buruk.

Beliau turut memetik firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang menyeru orang beriman menjauhi kebanyakan sangkaan kerana sebahagiannya adalah dosa.

Katanya, pemimpin politik yang membawa nama Islam perlu lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila kenyataan itu menyentuh hubungan kaum dan agama.

“Pengaruh seorang pemimpin datang bersama amanah yang besar.

“Setiap perkataan boleh menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa DAP boleh menghapuskan Melayu dan Islam melalui kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, Pondok Madani berkata gambaran itu tidak tepat dalam kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara.

Baba Zulkarnain berkata Malaysia bukan sebuah negara yang membolehkan mana-mana parti politik bertindak sesuka hati.

Sebaliknya, kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen, undang-undang serta prinsip semak dan imbang.

Beliau berkata kedudukan Islam telah diperuntukkan secara jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.

“Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti tersebut menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara,” katanya.

Menurut Baba Zulkarnain, politik dalam kerangka siyasah syar‘iyyah bukan sekadar soal kawan dan lawan.

Sebaliknya, politik sepatutnya menjadi medan mengurus kemaslahatan manusia, menegakkan keadilan, mencegah kemudaratan dan memelihara keamanan masyarakat.

Beliau turut memetik Surah al-Ma’idah ayat 8 yang menegaskan kebencian terhadap sesuatu kaum tidak boleh mendorong seseorang berlaku tidak adil.

“Justeru, kebencian politik tidak boleh menjadi alasan untuk melemparkan tuduhan bahawa sesuatu kelompok mahu menghapuskan Melayu dan Islam tanpa pembuktian yang kukuh.

“Politik ketakutan mungkin memberikan keuntungan politik jangka pendek, tetapi perpecahan umat dan kerosakan keharmonian negara adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar,” katanya.

‘Islam tidak kuat dengan fitnah’

Pondok Madani turut memberi amaran bahawa kenyataan mengaitkan lawan politik dengan ancaman terhadap Melayu dan Islam tanpa bukti jelas adalah berbahaya.

Katanya, pendekatan itu boleh merosakkan ukhuwah umat, meningkatkan ketegangan antara kaum dan agama serta menggugat keharmonian yang dibina sekian lama.

“Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah.

“Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan.

“Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan,” katanya.

Baba Zulkarnain berkata perbezaan politik adalah lumrah dalam demokrasi, namun ia mesti diurus dengan ilmu, fakta, adab dan keadilan.

Katanya, sudah tiba masanya politik negara bergerak daripada politik menakut-nakutkan rakyat kepada politik penyelesaian.

Beliau berkata parti politik sepatutnya berlumba-lumba menawarkan gagasan terbaik untuk meningkatkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan, memperkukuh pendidikan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita membina politik yang berteraskan ilmu, fakta, keadilan, akhlak dan maslahah, demi Islam yang dihormati, rakyat yang bersatu dan Malaysia yang aman serta sejahtera,” katanya.

BACA JUGA “Nak hapus Melayu Islam?” DAP Penang jawab Pas dengan rekod khidmat