44% kanak-kanak Orang Asli terbantut, KKM lancar pelan 10 tahun untuk ubah nasib kesihatan

Masalah kesihatan masyarakat Orang Asli tidak boleh diselesaikan dengan rawatan perubatan semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan terhadap faktor asas kehidupan termasuk pendidikan, ekonomi, pemakanan dan persekitaran.

Atas keperluan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026-2035, iaitu pelan dasar nasional untuk menangani isu kesihatan komuniti Orang Asli secara lebih menyeluruh dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Zulkefly Ahmad berkata, pelan berkenaan merupakan dokumen dasar nasional pertama seumpamanya dan akan dilaksanakan menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan dengan membabitkan 17 kementerian serta agensi pelaksana.

Menurutnya, tahap kesihatan masyarakat Orang Asli bukan hanya ditentukan oleh akses kepada rawatan, sebaliknya turut dipengaruhi keadaan ekonomi, tahap pendidikan, bekalan makanan serta persekitaran tempat tinggal.

“Isu ini tidak boleh dirawat dengan ubat semata-mata, sebaliknya ia wajib diselesaikan melalui pembangunan asas kehidupan yang lebih holistik,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran NSPSDHOA 2026-2035 di Kampung Orang Asli Air Banun, hari ini.

Zulkefly berkata, keperluan terhadap pelan berkenaan turut diperkukuh oleh dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022, yang menunjukkan 44 peratus kanak-kanak Orang Asli mengalami masalah bantut, berbanding 21.2 peratus kanak-kanak Malaysia.

Katanya, situasi itu menunjukkan wujud jurang kesihatan yang perlu ditangani melalui pendekatan lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek pemakanan dan keadaan sosioekonomi keluarga.

Selain masalah bantut, katanya, antara tujuh hingga lapan daripada 10 pesakit Orang Asli yang menghidap kencing manis dan kolesterol tidak menyedari mereka mempunyai penyakit berkenaan.

Dalam masa sama, satu daripada lima keluarga Orang Asli masih berdepan isu ketidakjaminan makanan, sekali gus menunjukkan faktor sosial dan ekonomi mempunyai kaitan langsung dengan tahap kesihatan komuniti berkenaan.

Zulkefly berkata, NSPSDHOA 2026-2035 berpaksikan enam teras utama, iaitu akses dan kesaksamaan penjagaan kesihatan, literasi kesihatan, pendidikan, kestabilan ekonomi, sokongan sosial serta kelestarian alam sekitar.

“Apalah gunanya kemudahan kesihatan yang serba lengkap sekiranya pemahaman dan amalan kesihatan masyarakat tidak berubah.

“Kita percaya, apabila tahap literasi kesihatan komuniti semakin meningkat, mereka berupaya dan berdaya untuk membuat keputusan yang lebih baik demi kesihatan diri, keluarga dan generasi masa depan mereka,” katanya.

Bagi memastikan pelan itu tidak sekadar menjadi dokumen dasar, KKM turut menetapkan 46 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mengukur keberhasilan pelaksanaannya dalam tempoh 10 tahun.

Antara sasaran yang ditetapkan termasuk menangani masalah malpemakanan, meningkatkan pengawalan penyakit tidak berjangkit (NCD), membasmi penyakit berjangkit serta memperkasa literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Zulkefly berkata, kejayaan pelan berkenaan bergantung kepada kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi memastikan usaha meningkatkan taraf kesihatan Orang Asli tidak terhenti pada sektor perubatan sahaja.

Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan hak kesihatan masyarakat Orang Asli terus terbela, selaras dengan prinsip memastikan tiada golongan yang tercicir.

BACA JUGA Sasar 1 juta rumah mampu milik, KPKT mahu harga ikut poket rakyat setempat