Armada dakwa Pas yang langgar perlembagaan PN

Kemelut pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) kini menyaksikan Bersatu dan Pas saling menuding jari, dengan Armada Bersatu Selangor mendakwa segelintir pemimpin Pas terlebih dahulu membelakangkan Perlembagaan PN.

Ketua Armada Bersatu Selangor, Na’im Brundage berkata, Dewan Pemuda Pas Selangor tidak sepatutnya memutarbelitkan kronologi sebenar berhubung pertembungan kerusi dalam pilihan raya negeri, sebaliknya perlu menjelaskan tindakan yang didakwa mengetepikan hak Bersatu sebagai parti anggota PN.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum usul Dewan Pemuda Pas Selangor supaya Pas mengambil alih kepimpinan PN Selangor susulan dakwaan Bersatu mengkhianati gabungan itu berhubung pertembungan kerusi.

Menurut Na’im, dakwaan terhadap Bersatu itu merupakan cubaan membentuk persepsi tidak benar, sedangkan terdapat tindakan yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan PN sebelum keputusan pembahagian kerusi dibuat.

“Pada 16 Julai 2026, wakil Bersatu telah dihalang daripada menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang membuat keputusan berkaitan pengagihan kerusi serta kerjasama dengan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan berkenaan didakwa bercanggah dengan Fasal 7.1 Perlembagaan PN, yang memberikan setiap parti anggota hak untuk hadir, memberikan pandangan dan mengundi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi.

Na’im berkata, jika istilah ‘pengkhianatan’ mahu digunakan dalam kemelut tersebut, tindakan segelintir pemimpin Pas yang didakwa membelakangkan perlembagaan gabungan itu juga perlu dipersoalkan.

“Jika istilah ‘pengkhianatan’ benar-benar mahu digunakan, maka pengkhianatan yang sebenar ialah tindakan segelintir pemimpin Pas yang telah membelakangkan Perlembagaan PN, mengenepikan hak Bersatu sebagai parti anggota dalam proses membuat keputusan dan kemudian memilih untuk bekerjasama dengan musuh politik PN, iaitu BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Dewan Pemuda Pas Selangor meneliti semula Perlembagaan PN serta mendapatkan penjelasan daripada kepimpinan Pas berhubung tindakan yang didakwa mengetepikan peraturan dan prinsip gabungan itu.

Katanya, perkara tersebut wajar diperjelaskan terlebih dahulu sebelum Dewan Pemuda Pas Selangor mempersoalkan kedudukan serta kepimpinan Bersatu dalam PN Selangor.

Na’im pada masa sama mengingatkan sayap pemuda Pas supaya berpegang kepada prinsip berkata benar, berlaku adil dan menjauhi fitnah ketika membuat tuduhan terhadap parti lain.

“Sebagai sebuah sayap pemuda kepada parti politik yang sentiasa mendakwa membawa nama dan perjuangan Islam, Dewan Pemuda Pas Selangor juga sewajarnya mengamati semula ajaran Islam mengenai kewajipan berkata benar, berlaku adil, dan menjauhi fitnah,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar berkata usaha penyatuan ummah perlu menjadi keutamaan berbanding perebutan kerusi pilihan raya antara parti politik, khususnya membabitkan Umno dan Pas di Selangor.

Beliau berkata fokus ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha mencari titik persamaan bagi mewujudkan kestabilan politik serta memastikan manfaat dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

BACA JUGA “Semoga terus diberi petunjuk” – Tok Guru Wazir titip doa buat Anwar genap 79 tahun