Mesyuarat khas bahas laporan RCI Tabung Haji esok, Wanita PKR adakan himpunan depan Parlimen
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) dijadualkan akan berlangsung esok.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang disiarkan di portal Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang selama sehari bermula 10 pagi.
Mesyuarat khas itu dijadual dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berhubung laporan RCI berkenaan, diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen.
Pada masa sama, wanita PKR Malaysia akan mengadakan himpunan solidariti bersempena perbahasan Laporan RCI berkenaan yang akan diadakan di Dewan Rakyat, esok.
Menerusi hebahan di media sosial, himpunan itu akan diadakan pada jam 10 pagi, 11 Ogos 2026, di hadapan bangunan Parlimen Malaysia.
Wanita PKR menyeru semua pimpinan dan anggotanya sebagai tanda solidariti dalam mempertahankan amanah pendeposit, integriti, ketelusan dan akauntabiliti institusi Tabung Haji.
Peserta diminta memakai baju putih dan tudung krim serta membawa payung lutsinar jika ada.