Tular Jalur Gemilang dikibar tidak cukup sifat di Terengganu

Satu video tular mencetuskan perbincangan ramai selepas Jalur Gemilang yang didakwa tidak cukup sifat dikibarkan di Pantai Batu Buruk, Terengganu.

Video yang ditularkan orang awam itu menunjukkan bendera Malaysia dipasang pada sebatang tiang dan dikibarkan dalam keadaan tidak mengikut reka bentuk asal Jalur Gemilang.

Berdasarkan video berkenaan, bahagian bendera yang kelihatan hanya memaparkan jalur merah dan putih serta ruang biru, namun tidak kelihatan lambang bulan dan bintang pada bahagian berkenaan.

Tiada penjelasan lanjut berhubung video berkenaan yang berlegar sejak semalam.

Isu berkaitan pemasangan Jalur Gemilang sebelum ini sering mendapat perhatian apabila berlaku kesilapan seperti bendera dikibarkan secara terbalik atau tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. 

Dalam sesetengah keadaan, perkara itu bukan sahaja mencetuskan kritikan, malah kerap dibawa berlebihan sehingga ke ruang politik oleh pembangkang untuk mengkritik kerajaan dan dikaitkan dengan sentimen perkauman.

Namun, kejadian kali ini menjadi perbincangan hangat apabila ia berlaku di sebuah negeri yang ditadbir pembangkang.

Di ruangan komen, pengguna media sosial menyeru nama Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang sebelum ini lantang mengkritik isu berkaitan bendera Malaysia.

Tidak kurang juga, sindiran dilemparkan kepada kerajaan negeri Terengganu di bawah pentadbiran Pas, dengan netizen mempersoalkan sama ada kesalahan mengibarkan Jalur Gemilang tidak cukup sifat itu mahu dipersalahkan kepada DAP.