Bertahun difitnah jual aset umat Islam, DAP mahu semua dalang kerugian TH diheret ke mahkamah
Oleh SYAHREDZAN JOHAN
Salam Malaysia Madani. “Mengapa aset umat Islam Tabung Haji diselia bukan Islam?”
Ini kenyataan media tahun 2019, Tan Sri Yang di-Pertua, yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda sebuah parti politik pada ketika itu.
Saya baca: “Aset-aset Tabung Haji bernilai 19.99 bilion telah dijual dan dipindahkan daripada Tabung Haji kepada sebuah SPV, Urusharta Jamaah Sendirian Berhad, yang hakikatnya diurus sepenuhnya oleh Protas Sendirian Berhad yang mana CEO-nya Chen Yinh Heng.
“Daripada awal lagi pemuda [diredak] amat curiga apabila Menteri Agama mengumumkan pemindahan atau penjualan aset-aset Tabung Haji kepada sebuah SPV yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya Lim Guan Eng.”
Naratifnya mudah pada ketika itu:
Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 jual aset Lembaga Tabung Haji. Kerajaan PH 1.0 bagi Lembaga Tabung Haji diuruskan oleh seorang Cina, kemudian di bawah Menteri Cina DAP pula tu. Saya ingat lagi masa tu kita bertarung di media sosial.
Kita nak perbetulkan fitnah ini. Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan Yang Berhormat Bagan dilemparkan pelbagai tohmahan.
Kononnya mereka berdualah yang merosakkan Lembaga Tabung Haji. Datuk Seri Mujahid sehinggakan digelar “Mujahat” oleh puak-puak ni.
Saya ingat lagi, saya tak lupa, Tan Sri Yang di-Pertua. Malang sungguh naratif kaum dibawa untuk menjejaskan usaha pemulihan Lembaga Tabung Haji.
Alhamdulillah, kebenaran akhirnya terserlah. Dua sosok ini, Yang Berhormat Bagan dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, bukanlah perosak Tabung Haji.
Tapi mereka sebenarnya yang bekerjasama untuk memulihkan Lembaga Tabung Haji.
Yang disebut sebagai “Mujahat” dan “kepala Cina DAP” tu, merekalah yang membantu Tabung Haji mengatasi krisis kewangan yang serius.
Ini diiktiraf dalam RCI Tabung Haji itu sendiri yang menyatakan bahawa pelan pemulihan dan penstrukturan Lembaga Tabung Haji 2018 hendaklah diambil perhatian serius bagi memastikan ia mencapai matlamat untuk memulihkan Lembaga Tabung Haji.
Tapi masih lagi ada orang jual cerita kononnya aset Lembaga Tabung Haji dijual kepada bukan Islam.
Padahal jelas Urusharta Jamaah Sendirian Berhad (UJSB) bukan milik orang persendirian atau entiti asing, tetapi dimiliki oleh Kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Sudah tiba masanya, pembohongan bahawa aset Tabung Haji dijual kepada bukan Islam ini dihentikan.
Tadi Menteri Agama pun dah sebut tiada aset yang dijual kepada bukan Islam.
Dakwaan ini bukan sekadar tidak berasas, tetapi ia merupakan satu eksploitasi sentimen agama dan kaum yang berbahaya demi meraih keuntungan politik.
Krisis kewangan
Saya mulakan dengan tohmahan yang dilemparkan kepada Datuk Seri Mujahid dan Yang Berhormat Bagan disebabkan saya nak menunjukkan bahawa benda yang baik bila kita nak buat, memang banyak halangan.
Untuk perbetulkan yang bobrok, yang rosak, tak mudah. Kadangkala wira dituduh sebagai “Mujahat”.
Tapi realitinya, dengan izin, the undeniable truth adalah Lembaga Tabung Haji diurus dengan sebegitu rupa sehingga berlakunya apa yang disebut dalam RCI sebagai satu krisis kewangan.
Istilah yang digunakan ini, “krisis kewangan” ini, kita dapat lihat berkali-kali ada dalam laporan RCI tersebut.
Dalam kita berbahas tentang isu-isu besar, saya ingin sentuh mengenai dua individu yang disebut dalam RCI Tabung Haji, iaitu mantan CEO Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohamad Hasyudeen Yusoff, dan juga mantan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Mohamad Nor Mohamad Yusof.
Dalam laporan RCI telah didapati bahawa mereka berdua ini telah memberikan khidmat yang baik dan melaksanakan penambahbaikan ke atas Lembaga Tabung Haji.
Datuk Nik Mohamad Hasyudeen telah ditamatkan perkhidmatan pada 5 Mei 2021 sebelum tamat tempoh sebenar perkhidmatannya manakala Tan Sri Mohamad Nor pula ditamatkan perkhidmatan pada Oktober 2021, sekali lagi juga sebelum tamat tempoh kontrak.
RCI mendapati bahawa penamatan perkhidmatan kedua-dua individu ini dibuat tanpa sebab dan secara mengejut.
Langkah Sheraton
Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah dapatan RCI bahawa ini bertentangan dengan apa yang dimaklumkan secara rasmi.
Kerana pada ketika itu, contohnya dilaporkan bahawa Tan Sri Mohamad Nor melepaskan jawatannya, tetapi RCI mendedahkan bahawa sebenarnya beliau telah dihentikan.
Kedua-dua mereka ini dilantik pada zaman PH 1.0. Mereka ditamatkan perkhidmatan oleh menteri-menteri di zaman pentadbiran kerajaan selepas Langkah Sheraton.
Memandangkan RCI secara jelas menyatakan bahawa penamatan mereka memberi kesan kepada proses penambahbaikan Lembaga Tabung Haji, kedua-dua mantan Menteri Agama pada ketika itu harus menjelaskan mengapa khidmat mereka berdua ini ditamatkan dengan lebih awal.
Kita tak pertikaikan budi bicara mereka, tetapi saya percaya rakyat berhak mengetahui kenapa mereka dibuang tanpa sebab dan telah menjejaskan pemulihan Lembaga Tabung Haji.
Kalau Yang Berhormat Bagan Serai tadi tidak walkout, mungkin kita boleh dengar daripada dia kenapa ditamatkan, sekurang-kurangnya pengerusi pada ketika itu.
Berlaku adillah pada mereka. Rakyat berhak tahu, mereka juga berhak tahu. Ada satu lagi perkara yang saya nak bangkitkan: teguran RCI kepada Jabatan Audit Negara.
RCI mendapati bahawa penyata kewangan Lembaga Tabung Haji dari 2014 hingga ke 2017 telah diberi satu sijil audit bersih mengenai laporan audit untuk tahun kewangan 2017, tetapi ada menyatakan mengenai emphasis of matter.
RCI menjelaskan bahawa Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya mengeluarkan sijil audit bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai emphasis of matter ini sepatutnya disenaraikan atau dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.
Menurut RCI, ketidaktegasan Jabatan Audit Negara juga dapat dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur Lembaga Tabung Haji berkaitan pemberian keuntungan atau hibah yang tinggi sepanjang 2014 sehingga 2017.
Tekanan politik
Teguran RCI terhadap Jabatan Audit Negara ini menunjukkan betapa pada ketika itu institusi penting seperti Jabatan Audit Negara ini dikompromi akibat pertimbangan politik.
Adakah Jabatan Audit Negara telah, dengan izin, water down ulasan mereka disebabkan pertimbangan politik atau ada tekanan politik pada ketika itu?
Rakyat berhak tahu. Kegagalan Jabatan Audit Negara dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menyeluruh pada ketika itu sehingga terdapatnya teguran daripada RCI mewajarkan pada saya satu respons daripada Jabatan Audit Negara dan juga Ketua Audit Negara mengenai teguran RCI ini.
Maklumkan kepada rakyat apa tindakan yang telah diambil untuk memastikan perkara ini tidak berlaku lagi.
Persoalan yang kita sering dengar pada hari ini adalah siapa yang patut bertanggungjawab ke atas situasi Lembaga Tabung Haji sehingga ia sampai ke titik paling rendah pada tahun 2017.
Saya ingin tegaskan di sini bahawa ahli-ahli Lembaga Tabung Haji pada penggal tersebut ataupun period tersebut bukanlah pasu bunga.
Mereka dilantik dan mereka mempunyai tanggungjawab fiduciari (fiduciary duties) terhadap Tabung Haji.
Mereka tak boleh ambil elaun, ambil gaji, dapat keistimewaan sebagai ahli lembaga tetapi mengelak daripada tanggungjawab apabila berlakunya masalah atau kerosakan.
Selain daripada tanggungjawab fiduciari mereka sebagai ahli lembaga, adakah mereka ini juga ada terlibat secara langsung dalam beberapa pelaburan yang bermasalah seperti yang telah disenaraikan 14 pelaburan bermasalah?
Pelaburan bermasalah
Berkaitan dengan isu ini, saya ingin penjelasan:
Adakah benar bahawa ada mantan Pengerusi Tabung Haji dan bekas Ahli Parlimen Baling terlibat secara aktif dalam rundingan untuk transaksi berkait Hotel Abraj / Arrauda, yakni salah satu pelaburan bermasalah Tabung Haji sehingga mencatatkan kerugian?
Kita nak tahu adakah benar ada alegasi seperti ini. Jadi, saya minta supaya satu respons diberikan. Ini persoalan-persoalan yang perlu dijawab.
Masalah dengan Tabung Haji ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia tidak terjadi dalam vakum. Sudah tentu ada pelakunya dan sudah tentu ada orang yang harus dipertanggungjawabkan.
Dan dalam RCI Tabung Haji itu jelas menyebut, Suruhanjaya berpandangan bahawa setiap anggota lembaga dan lembaga pengarah anak-anak syarikatnya, pengurusan, serta kakitangan yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan atas kerugian yang dialami oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) dan anak-anak syarikat yang berkaitan.
Maknanya semua yang pernah menjawat jawatan sebagai ahli lembaga dalam tempoh yang berkenaan harus dipanggil, disiasat, dan sekiranya ada kebertanggungjawaban, harus dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian, tanpa kompromi.
Terakhir, kita bercakap ini bukan perkara yang main-main. Ini bukan perkara picisan, bukan benda yang patut kita ambil mudah, bukan benda yang kita patut ambil enteng.
Melarikan diri
Sebab itu tindakan pembangkang, Pas dan Perikatan Nasional, untuk tidak membahaskan isu ini membuktikan bahawa mereka telah melarikan diri daripada tanggungjawab mereka sebagai ahli parlimen.
Tabung Haji merupakan satu institusi penting dalam negara, kebanggaan negara kita daripada perspektif pengurusan haji.
Lembaga Tabung Haji diiktiraf di seluruh dunia, negara jiran melihat kepada cara kita mengurus haji melalui Tabung Haji.
Ada orang kita, orang Islam kerja kuat seumur hidup, letak duit dalam Tabung Haji supaya satu hari mereka dapat menunaikan ibadah haji.
Mereka bukan orang kaya, bukan orang berada, mereka orang biasa. Mereka deposit duit disebabkan mereka letak kepercayaan kepada Tabung Haji.
Untuk umat Islam, Lembaga Tabung Haji ini adalah satu institusi Islam yang cukup penting.
Mana-mana kerajaan bila jadi kerajaan, menjadi custodian kepada Lembaga Tabung Haji ini.
Ada tanggungjawab sebagai kerajaan kepada umat Islam di Malaysia untuk jaga Tabung Haji ini baik-baik.
Melarikan diri
Saya tak faham bagaimana orang-orang yang diamanahkan untuk jaga duit kita, jaga duit orang Islam, boleh buat Lembaga Tabung Haji sampai macam tu sekali.
Lepas itu bila ada orang nak pulihkan, ditohmah, difitnah, dan sebagainya.
Tergamak mereka ini buat macam ni pada Tabung Haji. Diharapkan pagar, pagar sakau padi.
With permission, how dare they do this to Tabung Haji!
Maka di sini saya ingin tegaskan, saya mewakili parti DAP sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan, pendirian parti di sini:
1) DAP menjunjung dan menyokong penuh titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong tempoh hari supaya siasatan berhubung RCI Tabung Haji ini dijalankan sehingga ke lubang cacing.
2) DAP mahu semua yang bertanggungjawab terhadap situasi Lembaga Tabung Haji dibawa ke muka pengadilan. Kepada pihak berkuasa, jalankan tugas anda tanpa rasa takut dan memihak, kami bersama anda.
3) DAP menyokong dan mendukung penuh usaha pemulihan Lembaga Tabung Haji yang masih berterusan ini.
Kita harus belajar daripada episod ini. Never again, never again. Jangan lagi berlaku perkara seperti ini.
Kita ambil iktibar dan pengajaran supaya kita tidak melihat lagi kerosakan yang kita lihat dalam Lembaga Tabung Haji.
*Transkrip perbahasan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan merangkap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dalam Sidang Khas Parlimen RCI Tabung Haji hari ini.
BACA JUGA ‘Apa lagi yang nak ditakutkan?’, Adun Selangor tempelak pembangkang keluar ketika RCI TH dibahas