Bukan sekat tapi lindung, Fahmi pertegas pendirian kerajaan tetap had umur media sosial

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan tujuan kerajaan melaksanakan penetapan had umur dan kawalan terhadap pembukaan akaun media sosial adalah untuk melindungi kanak-kanak.

“Niat kerajaan dalam melaksanakan penetapan had umur dan kawalan terhadap pembukaan akaun media sosial adalah bagi mengelakkan risiko mereka menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan satu kes mahkamah di Sabah membabitkan seorang lelaki yang dihukum penjara 10 tahun akibat melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun selepas berkenalan menerusi aplikasi TikTok.

Berikutan itu, Fahmi menggesa ibu bapa melaksanakan kawalan ibu bapa atau parental control terhadap penggunaan peranti, internet dan media sosial anak-anak, khususnya mereka yang berusia bawah 16 tahun.

“Langkah itu penting bagi melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan tidak bersesuaian serta ancaman dalam talian,” katanya.

“Saya meminta ibu bapa yang masih belum melaksanakan kawalan ibu bapa supaya mengambil langkah berkenaan bermula dalam keluarga masing-masing,” tambahnya.