Menteri sahkan lima surat amaran BNM langsung tidak diendah pengurusan TH, kerajaan BN

Sebanyak lima surat amaran yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung masalah jurang aset dan tanggungan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dikeluarkan pada tahun 2014, didakwa tidak diendahkan oleh kepimpinan TH dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, BNM telah berulang kali membangkitkan kebimbangan mengenai kesan amalan pemberian agihan keuntungan tinggi oleh TH sejak 2014.

Menurut beliau, walaupun BNM bukan badan pengawal selia TH, institusi itu bertanggungjawab terhadap kestabilan sistem kewangan negara dan telah memberi peringatan mengenai kedudukan rizab TH yang semakin terjejas sehingga menjadi negatif.

“BNM telah mengeluarkan surat peringatan sebanyak lima kali kepada Pengerusi TH dan Menteri Agama pada waktu itu (era BN) mengenai masalah jurang antara aset dan tanggungan TH.

“Mereka diberi amaran bukan sekali, bukan dua kali, tetapi lima kali bahawa keadaan itu perlu diperbetulkan segera bagi memastikan TH tidak langgar undang-undang,” katanya ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada sidang khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, amaran berkenaan mempunyai asas kerana kegagalan menangani masalah tersebut berisiko memberi kesan kepada kedudukan dan kestabilan kewangan negara.

Bagaimanapun, katanya, surat-surat amaran yang dihantar BNM tidak pernah diendahkan, apatah lagi diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pengurusan TH ketika itu.

“Semua mesti tahu bahawa amaran-amaran BNM bukan tanpa asas. Asasnya adalah sekiranya ia tak ditangani, berisiko timbulkan kesan parah kepada kedudukan dan kestabilan wnag negara.

“Apa yang berlaku adalah surat-surat amaran diutuskan BNM tak pernah diendahkan apatah lagi diberi perhatian, dan diambil tindakan oleh pengurusan TH ketika itu.

“Kedudukan TH ketika itu berpotensi menimbulkan risiko sistemik kepada kestabilan kewangan negar. Malangnya, surat-surat tak diendah oleh kepimpinan TH pada waktu itu,” katanya lagi.

Beliau berkata, peringatan BNM kemudiannya disusuli Ketua Audit Negara menerusi Laporan Penyata Kewangan 2017 yang mengeluarkan penegasan perkara (emphasis of matter) mengenai perubahan rosot nilai yang dilakukan sebanyak dua kali dalam tahun sama bagi menunjukkan keuntungan lebih tinggi bagi 2017.