Sidang khas bahas RCI TH kecoh, pembangkang ‘boikot’ keluar Dewan

Sidang khas yang baru bermula bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) bertukar kecoh apabila wakil rakyat pembangkang keluar daripada Dewan secara beramai-ramai.

Mereka enggan menyertai sidang tersebut selepas usul mereka kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menangguhkan sidang khas berkenaan, ditolak.

Alasan yang diberikan pembangkang untuk menangguhkan sidang berkenaan adalah kerana ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Johari berkata, mana-mana pihak yang enggan menyertai perbahasan sidang berkenaan, dipersilakan untuk keluar daripada Dewan.

“Saya nak tanya, adakah pembangkang nak walk out? Please leave. Siapa nak keluar, keluar. Siapa nak tunggu, tunggu. Rakyat sedang melihat anda. Siapa yang tak nak bincang dan melihat perkara ini tak penting, sila keluar,” kata beliau.

Sidang ketika ini sedang dimulakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang akan diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen.