Umno makan diri serang melampau DAP, PN pula untung apa jua pilihan BN
Tindakan Umno yang melampau menyerang DAP ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan memerangkap parti itu sendiri sehingga semakin kehilangan pilihan strategik menjelang PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, beliau bersetuju dengan pandangan wartawan veteran Fathi Aris Omar bahawa pendekatan Umno itu akhirnya mengecilkan ruang politik parti terbabit dan Barisan Nasional (BN), sedangkan dalam politik sesebuah parti sepatutnya mempunyai sebanyak mungkin pilihan.
Beliau berpendapat keadaan itu menjadi lebih janggal apabila Umno dan DAP sebenarnya masih bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri termasuk Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
“Secara pentadbiran kerjasama tersebut konstruktif, penyampaian kerajaan berfungsi dengan baik,” katanya hari ini menerusi hantaran di media sosial.
Dr Yusri berkata, kesan paling besar daripada pendekatan tersebut ialah terbentuknya persepsi dalam kalangan pengundi Melayu bahawa BN seolah-olah tidak lagi mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Situasi itu, jelas Ketua Penyelidik Ilham Centre berkenaan, boleh menjadi perangkap besar buat BN apabila parti berkenaan perlu menentukan haluan menjelang PRN Melaka dan seterusnya PRU16.
“Jika pilih bergerak solo, akan dilabel memberi laluan untuk PH/DAP menang dalam pertandingan tiga penjuru.
“Apatah lagi jika kembali bekerjasama dengan PH, tidak tahulah apa lagi yang akan dihambur,” ujarnya.
Naratif pembangkang
Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berpendapat, pihak yang paling mendapat keuntungan daripada keadaan tersebut ialah PN kerana hampir semua pilihan yang dibuat BN boleh dimanfaatkan untuk kepentingan naratif pembangkang.
“Dalam situasi begini, PN akan untung berganda. Jika BN berkerjasama dengan PN, sudah tentu PN untung.
“Jika BN bergerak solo atau bekerjasama dengan PH, pun PN untung.
“Sebab boleh heret naratif BN memberi peluang DAP menang, sama ada secara langsung atau tak langsung,” hujahnya.
Untuk rekod, sehingga 7 Ogos lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awan memberitahu bahawa PN masih dalam proses rundingan dengan BN berkait agihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.
Sementara itu, pada 9 Ogos lalu, PH menyambut baik keterbukaan BN berhubung pengagihan kerusi di Melaka susulan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN masih membuka ruang rundingan berhubung pengagihan kerusi.
Mengulas lanjut, Dr Yusri memberi amaran bahawa naratif BN memberi peluang DAP menang mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia berpotensi menangkap imaginasi pengundi Melayu, khususnya apabila isu identiti dan ketakutan politik terus dimainkan.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa strategi politik yang terlalu banyak mencipta musuh akhirnya boleh menghadkan pilihan sesebuah parti sendiri.
Memetik nasihat seorang rakannya yang pernah terlibat dalam politik, Dr Yusri berkata prinsip asas dalam politik adalah memperbanyakkan kawan dan mengurangkan musuh.
“Ada kawan saya yang pernah main politik beritahu, dalam politik ni kena ramai kawan, kena kurangkan musuh,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Dulu Akmal ‘mengamuk’ bendera terbalik, kini bulan bintang hilang di Terengganu pula