Semarak Merdeka Bandar Tun Razak perkukuh perpaduan komuniti

FOTO BERITA: Program Semarak Merdeka Parlimen Bandar Tun Razak sempena Bulan Kemerdekaan 2026 di Perkarangan Pejabat DBKL Cawangan BTR Kuala Lumpur. 12hb Ogos 2026 (Rabu)

Sambutan Bulan Kemerdekaan perlu dijadikan wadah untuk menghayati erti kebebasan, menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kemerdekaan bukan sekadar laungan ‘Merdeka’ atau kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya membawa makna lebih besar sebagai lambang kebebasan, pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu dalam membina sebuah negara yang aman serta berdaulat.

“Pada hari ini, kita menikmati keamanan, kebebasan dan keharmonian hasil perjuangan generasi terdahulu. Maka persoalannya, apakah makna merdeka itu kepada kita dan apakah yang kita lakukan untuk mempertahankan kemerdekaan ini?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Merdeka Parlimen Bandar Tun Razak sempena Bulan Kemerdekaan 2026 di perkarangan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, tema Hari Kebangsaan 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, amat bertepatan dengan aspirasi untuk mewujudkan kehidupan lebih baik, peluang yang saksama, perpaduan kukuh serta keamanan berterusan.

Menurutnya, Program Semarak Merdeka turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat, warga kerja DBKL, komuniti setempat dan rakan strategik.

“Kita mungkin berbeza dari segi bangsa, agama dan budaya, tetapi kita berkongsi satu tanah air, satu bendera dan satu masa depan.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menjadikan sambutan kemerdekaan bukan sekadar satu perayaan, tetapi wadah untuk menghayati erti kebebasan, menghargai jasa pejuang terdahulu dan terus membina komuniti Bandar Tun Razak yang bersatu, sejahtera dan progresif,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, Parlimen Bandar Tun Razak mempunyai kira-kira 191,000 penduduk, menjadikannya antara kawasan Parlimen dengan jumlah penduduk tertinggi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, komposisi penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum mencerminkan kepelbagaian komuniti yang hidup bersama dalam sebuah kawasan dinamik dan harmoni.

Katanya, kepelbagaian masyarakat perlu dilihat sebagai kekuatan yang boleh memperkukuh keharmonian dan perpaduan negara.

Beliau turut memetik Surah al-Hujurat ayat 13 yang menekankan bahawa manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenali, selain menjadikan perbezaan latar belakang sebagai asas untuk mengenali, menghormati dan hidup dalam harmoni.

Program berkenaan turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; wakil DBKL; Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud; Ketua Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak, Dr Nurzeiti Yuslinda Yusof; wakil agensi keselamatan serta pemimpin komuniti setempat.