Suhaimi ungkit semula dakwaan 99% ketua cawangan ke Makkah?
Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mengungkit kembali pengalaman ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian Umno yang didakwa menyaksikan sebahagian besar ketua cawangan dibawa menunaikan haji, ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat.
Suhaimi berkata, ketika pertandingan itu berlaku, beliau berdepan tentangan daripada seorang menteri dan mendakwa kira-kira 99 peratus ketua cawangan ketika itu berada di Makkah.
Menurutnya, perkara berkenaan kembali mengingatkannya kepada apa yang didedahkan dalam laporan RCI yang sedang dibahaskan.
“Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjukkanlah satu hari perkara-perkara ini akan timbul. Alhamdulillah, ia timbul pada 11 haribulan ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam laporan berkenaan terdapat tiga nama yang disebut berkaitan pertandingan jawatan Ketua Bahagian Umno ketika itu.
“Apabila pertandingan berlaku, tiga nama disebut di dalam laporan ini. Saya tidak akan sembunyi, ketua bahagian Umno yang pertama, ketua Umno bahagian yang kedua dan timbalan ketua bahagian, ada namanya di sini(laporan RCITH),” katanya.
Suhaimi kemudian menyeru ketiga-tiga individu berkenaan supaya membaca laporan RCI tersebut bagi memahami semula apa yang berlaku ketika beliau bertanding jawatan berkenaan.
“Saya betul, serasa saya bertanding waktu itu saya dalam Umno sebagai ketua bahagian. Ada orang datang melawan saya, seorang menteri lawan saya,” katanya.
Menurut Suhaimi, beliau berasa sedih kerana masyarakat ketika itu tidak mengetahui dakwaan mengenai adanya tawaran untuk membawa ketua-ketua cawangan menunaikan haji secara percuma.
Katanya, perkara tersebut menimbulkan persepsi dalam kalangan penyokong yang menerima tawaran berkenaan sehingga ada yang menganggap mereka terhutang budi kepada pihak yang membantu.
“Saya sedih kerana orang kampung tak tahu ada menteri offer pergi ke Makkah secara percuma, siapa tak nak?” katanya.
Suhaimi turut menceritakan bagaimana beliau menerima kunjungan penyokong yang memberitahu bahawa mereka tidak dapat menolak untuk dihantar menunaikan haji dan menganggap diri mereka terhutang budi kepada menteri terbabit.
“Minta maaf, kami terhutang budi dengan menteri ini. Kami terhutang budi,” katanya ketika mengimbas kembali keadaan ketika itu.
Beliau berkata, akhirnya beliau tewas dalam pertandingan tersebut dan tidak lagi memegang jawatan Ketua Bahagian Umno berkenaan.
Namun, menurut Suhaimi, beliau terus berdoa agar suatu hari nanti perkara yang berlaku ketika pertandingan itu dapat diketahui.
“Maka saya meninggallah sebagai ketua bahagian, walaupun kalah dalam gelanggang. Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjuk,” katanya.
Ucapan Suhaimi itu dibuat ketika perbahasan khas Dewan Rakyat mengenai Laporan RCI Tabung Haji, yang kini menjadi tumpuan susulan pendedahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai penajaan perjalanan haji dan kaitannya dengan pertandingan Umno itu adalah berdasarkan dakwaan serta pengalaman yang diceritakan Suhaimi dalam Dewan Rakyat dan tidak wajar dianggap sebagai fakta yang telah diputuskan tanpa merujuk dapatan rasmi laporan RCI.