Titah Agong mahu RCI Tabung Haji disiasat tanpa kompromi, kenapa pula keluar Dewan?
Tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji disifatkan sebagai tidak wajar, malah bercanggah dengan semangat titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali, perbahasan mengenai laporan berkenaan sepatutnya menjadi ruang kepada semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang, untuk meneliti dapatan RCI secara terbuka serta mendapatkan penjelasan daripada kerajaan.
Beliau berkata, tindakan meninggalkan Dewan ketika isu membabitkan institusi yang menguruskan wang jutaan pendeposit umat Islam sedang dibahaskan hanya akan menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan pihak terbabit untuk mencari kebenaran.
“Tindakan tersebut amat dikesali. Perbahasan tersebut memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk meneliti dapatan RCI, mendapatkan penjelasan kerajaan dan mengemukakan pandangan serta cadangan demi kepentingan para pendeposit Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, isu Tabung Haji tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui kaca mata persaingan politik kerana ia menyentuh soal amanah, tadbir urus dan kepentingan pendeposit.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan supaya siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI dilaksanakan secara menyeluruh dan tanpa kompromi.
“Jika benar mahu mencari kebenaran, maka tempatnya adalah di meja perbahasan, bukan dengan meninggalkan Dewan,” katanya.
Sheikh Omar berkata, laporan RCI berkenaan bukan hak milik mana-mana parti politik dan dapatan yang terkandung di dalamnya perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.
Katanya, Tabung Haji merupakan institusi penting yang menguruskan simpanan serta amanah jutaan umat Islam, justeru sebarang kelemahan dalam aspek tadbir urus perlu diperbetulkan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
“Laporan RCI ini bukan milik mana-mana parti politik. Ia menyentuh kepentingan sebuah institusi yang menguruskan wang dan amanah jutaan umat Islam di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua Ahli Parlimen supaya menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat untuk membangkitkan persoalan, mengemukakan pandangan serta mencadangkan penambahbaikan berdasarkan dapatan RCI.
Menurutnya, pendekatan itu lebih berkesan berbanding tindakan meninggalkan Dewan sebagai tanda bantahan politik.
Beliau berkata, pendeposit Tabung Haji mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan sebenar institusi berkenaan dan bagaimana kelemahan yang dikenal pasti dalam laporan RCI akan ditangani.
“Semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dapatan laporan diteliti dengan serius dan memastikan kelemahan tadbir urus tidak berulang lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Sheikh Omar menyeru semua Ahli Parlimen, termasuk daripada blok kerajaan dan pembangkang, supaya mengetepikan kepentingan politik kepartian ketika membahaskan isu berkenaan.
Katanya, tumpuan utama perlu diberikan kepada kepentingan pendeposit Tabung Haji serta masa depan institusi berkenaan.
“Ini bukan soal politik siapa menang atau siapa kalah. Ini soal amanah. Ini soal tadbir urus. Ini soal wang rakyat dan pendeposit Tabung Haji.
“Dan ini soal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
BACA JUGA 7 pelaburan lesap 100%, RM13 bilion terjejas: RCI bongkar harga yang rakyat tanggung