Pembangkang kecewakan pendeposit Tabung Haji, ruang soal menteri depan mata pun diboikot

Keputusan pembangkang keluar Dewan Rakyat pada sesi penerangan Menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) kelmarin dilihat mengecewakan jutaan pendeposit TH.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, pendeposit TH mengharapkan wakil rakyat menggunakan ruang Parlimen untuk meneliti laporan berkenaan dan mendapatkan penjelasan kerajaan.

“Saya fikir sepatutnya pembangkang kekal di dalam Dewan Rakyat dan mereka mendengar dahulu penerangan daripada menteri.

“Jika mereka ada kemusykilan, perdebatan atau tidak berpuas hati selepas itu, mereka boleh bertanya secara langsung kepada Menteri,” katanya, dipetik Bernama.

Kelmarin, wakil rakyat Pas dan Wawasan memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan RCI TH di Dewan Rakyat dengan alasan sesi berkenaan tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu dilihat bangkit dari tempat duduk masing-masing secara bersama dan beredar keluar dari dewan.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, penglibatan aktif pembangkang di dalam Dewan Rakyat juga selaras dengan peranan Parlimen sebagai sebuah institusi yang luhur dan tidak boleh menyembunyikan sebarang fakta.

“Jadi, peluang tersebut seharusnya digunakan oleh pihak pembangkang dengan meletakkan kepentingan awam mengatasi perbezaan politik,” katanya.

Berilah ruang

Menurut pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkenaan, blok pembangkang juga sepatutnya boleh menguji dapatan RCI secara terbuka serta memberikan peluang kepada mereka mengetengahkan persoalan berkaitan kepentingan pendeposit dalam rekod Parlimen.

Beliau berkata, ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi tersebut tidak harus menghalang proses pembentangan RCI berkaitan TH kerana menteri berkenaan tetap berupaya memberikan penjelasan selaras dengan portfolio yang dipertanggungjawabkan.

“Soal mereka mahu Perdana Menteri sendiri (hadir ke Parlimen), pada saya sama ada Perdana Menteri ataupun menteri berkaitan, sama sahaja kerana isu yang lebih utama adalah berkaitan TH.

“Semua juga maklum yang Perdana Menteri menerima rawatan di hospital, jadi berilah ruang kepada beliau untuk berehat,” kata Dr Mazlan.

Tindakan memboikot perbahasan juga, ujarnya, boleh memberi kesan politik yang berupaya membentuk persepsi bahawa pembangkang kurang bersungguh-sungguh memperjuangkan kepentingan pendeposit.

Walhal, tambahnya, isu kelestarian serta pengurusan institusi umat Islam itu memerlukan penelitian berterusan.

BACA JUGA Dah tiada DAP pun masalah belum reda, MB baharu Negeri Sembilan pula ‘dipaksa’ singkir Yamtuan