Tengku Zafrul: PH perlu perbaiki pendekatan media sosial tarik sokongan anak muda

FOTO BERITA: Majlis Penutup Seminar Meja Bulat dan Bengkel bersama Tengku Zafrul Abd Aziz Setiausaha Politik Kanan PM anjuran SEKPUR di Saloma Jalan Ampang Kuala Lumpur. 12hb Ogos 2026 (Rabu)

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) perlu memperkukuh gerak kerja media sosial dengan memberi tumpuan lebih besar kepada pengundi muda sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pendekatan itu penting susulan analisis terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang menunjukkan Pakatan Harapan (PH) masih berdepan cabaran dalam menarik sokongan pengundi berusia bawah 40 tahun.

Beliau berkata, golongan muda kini semakin terdedah kepada pelbagai maklumat menerusi platform media sosial dan pendekatan komunikasi konvensional semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menyampaikan mesej politik serta dasar kerajaan kepada mereka.

“Persoalan paling penting ialah sama ada kita menguasai media sosial pada hari ini. Kita perlu buat melalui media sosial kerana anak muda banyak menggunakan TikTok, permainan dalam talian dan pelbagai platform digital lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Meja Bulat dan Bengkel Strategi Pempengaruh Media Sosial anjuran SEKPUR di Saloma, Jalan Ampang,

Menurut Tengku Zafrul, analisis terhadap PRN Negeri Sembilan mendapati kira-kira 47 peratus daripada daftar pemilih terdiri daripada pengundi berusia bawah 40 tahun, dengan 419,867 pengundi dalam kumpulan umur berkenaan.

Katanya, kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda juga menunjukkan angka yang tinggi, sekali gus membuktikan golongan berkenaan bukan kumpulan yang tidak mengambil berat mengenai proses pilihan raya.

“Bagi pengundi berusia 18 hingga 22 tahun, sebanyak 73 peratus keluar mengundi, namun hanya 37 peratus daripada mereka mengundi PH.

“Bagi kumpulan umur 23 hingga 30 tahun pula, sekitar 70 peratus keluar mengundi dengan 41 peratus memilih PH, manakala bagi kumpulan 31 hingga 40 tahun, kadar keluar mengundi ialah 67 peratus dengan hanya 39 peratus mengundi PH,” katanya.

Tengku Zafrul turut menggesa setiap kawasan Parlimen memperkukuh strategi media sosial masing-masing dengan memanfaatkan pempengaruh mikro dan individu tempatan yang lebih memahami isu setempat.

Beliau berkata, bakat baharu dalam bidang media sosial juga perlu dikenal pasti dan dibimbing sebagai pempengaruh, pencipta kandungan, podcaster, YouTuber serta TikToker.

Katanya, tempoh sebelum PRU16 perlu dimanfaatkan untuk melakukan post-mortem dan memperbaiki kelemahan komunikasi bagi memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

Beliau kemudian merasmikan penutupan seminar dan bengkel berkenaan yang turut hadir Pengerusi SEKPUR Tuan Hj Mustapa Mansor, Setiausaha Agung, Mejar (B) Razali Zakaria,Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun serta jawatankuasa pimpinan dan menghimpunkan penggerak serta pempengaruh media sosial.