Sidang media terakhir sebelum DAP keluar kerajaan? Anthony Loke: “Saya tak pernah kata begitu”
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menepis spekulasi bahawa sidang media beliau hari ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya sebagai anggota Kabinet susulan keputusan parti itu yang bakal menentukan kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, beliau sendiri tidak pernah menganggap sidang media berkenaan sebagai penampilan terakhir sebelum Persidangan Kebangsaan DAP 2026, Ahad ini.
“Bagaimana anda boleh fikir ini sidang media terakhir saya? Saya tidak pernah berkata demikian. Selepas Ahad (Persidangan Kebangsaan), kita bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Kenyataan itu sekali gus menolak tanggapan bahawa keputusan DAP untuk menentukan kedudukannya dalam kerajaan sudah memberi petanda bahawa barisan menteri parti itu mungkin bakal berundur.
Ditanya mengenai perasaannya menjelang persidangan penting itu, Loke turut menafikan bahawa beliau berada dalam keadaan gementar.
Sebaliknya, beliau secara berseloroh mempersoalkan mengapa soalan sedemikian diajukan kepadanya.
“Saya nampak gementar ke? Saya tidak tahu mengapa anda bertanya soalan sedemikian. Saya nampak sangat tenang hari ini,” katanya.
Persidangan Kebangsaan DAP 2026 dijadual berlangsung Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan akan membuat keputusan secara sulit.
Undian itu akan menentukan sama ada DAP memilih untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa atau menarik diri daripada gabungan kerajaan.
Keputusan tersebut dinantikan selepas prestasi DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini menjadi perhatian, termasuk perkembangan politik di Sabah serta PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kenyataan Loke hari ini menunjukkan bahawa buat masa ini beliau masih menjalankan tugasnya sebagai Menteri Pengangkutan seperti biasa dan tidak menganggap sidang media berkenaan sebagai penampilan terakhirnya dalam Kabinet.
Apa yang berlaku selepas Ahad nanti, katanya, hanya akan dibincangkan selepas keputusan persidangan tersebut dibuat.
BACA JUGA “Kenapa kami tak keluar?” – Radzi Jidin dedah sebab Bersatu kekal dalam dewan