Sindiran ‘Ustaz BBNU’ makan diri, Ridhuan Tee ditanya mufti pun ‘barua baru nak up’ ke?
Pendakwah kontroversi, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sekali lagi mengundang perhatian apabila menggunakan ungkapan “Ustaz BBNU (barua baru nak up)” ketika menyindir pihak yang baru-baru ini membahaskan maksud kafir harbi.
Menerusi hantaran di Facebook lewat malam tadi, Ridhuan mempersoalkan mengapa isu berkenaan baru mahu diperbahaskan selain mendakwa zaman sekarang merupakan “perang media sosial” dan bukannya peperangan secara fizikal.
“Baru ni la nak bahas makna harbi, sebelum ni ketika Islam dihina dicerca, dimusuhi, hangpa buat pa.
“Ni la baru Ustaz BBNU (barua baru nak up). Cari perhatian. Zaman la ni perang media sosial, bukan perang fizikal. Susah sangat nak faham,” kecam Ridhuan Tee.
Bagaimanapun, bekas moderator dan ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam terbitan RTM itu tidak menamakan secara khusus siapa “Ustaz BBNU” yang dimaksudkannya.
Kafir harbi
Sindiran itu dilihat menarik perhatian orang ramai kerana ia muncul hanya dua hari selepas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menganjurkan Sidang Meja Bulat “Kafir Harbi di Malaysia: Satu Perbincangan” di Putrajaya pada 10 Ogos lalu.
Berbeza dengan nada polemik di media sosial, sidang khas di Putrajaya itu membincangkan secara ilmiah konsep kafir harbi dan kedudukannya dalam realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama dan bangsa.
Lebih menarik, perbincangan itu bukan disertai “ustaz baru nak up”, sebaliknya menghimpunkan beberapa tokoh agama utama negara.
Mereka termasuklah Mufti Perlis, Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dato’ Dr Mohd Sukki Othman.
Turut terlibat Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Perbincangan tersebut menjadi platform untuk meneliti konsep kafir harbi berdasarkan sumber dan disiplin ilmu Islam, di samping melihat kesesuaiannya dalam memahami realiti semasa masyarakat Malaysia.
Malah, hasil perbincangan itu merumuskan bahawa istilah kafir harbi tidak sesuai digunakan terhadap warganegara Malaysia.
Ini memandangkan seluruh rakyat negara ini tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai tanggungjawab bersama mempertahankan serta membangunkan negara.
Zulkifli turut menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian berkaitan bagi mempergiat penerangan kepada masyarakat supaya kefahaman mengenai isu berkenaan tidak disalahertikan sehingga menggugat perpaduan.
Bertanding
Susulan hantaran kontroversi Ridhuan Tee di media sosial itu, warganet dilihat membanjiri ruangan komentar bernada sinis selain teguran dan nasihat.
Ada pengguna Facebook tampil mempersoalkan sama ada sindirannya itu turut ditujukan kepada tokoh-tokoh agama berkenaan.
Seorang pengguna, Nik Lee, secara ‘pedas’ bertanya:
“Mufti Perlis, Mufti Pulau Pinang, Mufti WP, Menteri Hal Ehwal Agama Dr Zulkifli. Semua Barua Baru Nak Up ke Tee?”
Azemi Mee pula mengaitkan hantaran tersebut dengan kemungkinan Ridhuan Tee akan bertanding di kerusi Parlimen mana pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“PRU 16 ni Dr nak bertanding di mana ya?,” perlinya.
Tidak kurang juga netizen yang menegur bahasa kasar digunakan Ridhuan Tee, lebih-lebih lagi kedudukannya sebagai individu berlatar belakang agama dan akademik.
Antaranya, Baki Hj Leh meminta ayah kepada pelakon, Syafi Tee yang pernah heboh dengan isu video aksi panas itu supaya menjauhkan penghukuman terhadap orang lain berdasarkan kecenderungan politik.
“Kenapa sampai begitu ustaz hukum sesama insan? Disebabkan fahaman politik mulut ustaz hari-hari dah mencerca, maki dengan perkataan yang tak sedap didengar atau tak patut diluahkan secara terbuka oleh insan yang bergelar ilmuan macam ustaz.
“Jauhilah politik ustaz… takut lama-lama nanti akan jadi sebahagian yang bergelar ustaz yang menjatuhkan hukum dan dalil ikut selera politik,” nasihatnya.
Seorang lagi pengguna, Abd Raffar, turut menasihatkan Ridhuan supaya menjaga tutur kata.
“Bahasa jagalah ustaz… ustaz tengah menghalalkan kata-kata kesat. Beradablah. Islam mengajar kita supaya beradab dan bersopan,” serunya lagi.
BACA JUGA ‘Harta umat Islam Kak Long kata geli-geli je’, anak Zahid ditempelak isu RCI Tabung Haji