“Sogok ahli ke Makkah?” – Hasbie persoal dakwaan ‘99% ketua cawangan’ ketika pemilihan Umno

Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda mempersoalkan pendedahan dalam Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) yang mendakwa kemudahan menunaikan haji digunakan ketika berlangsungnya pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian Umno.

Mengulas pendedahan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, Hasbie menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai sesuatu yang mengejutkan sekiranya benar berlaku.

“Sogok ahli hantar ke Mekah waktu tanding Ketua Bahagian? Allahuakbar! Apa nak jadi negaraku,” tulisnya menerusi media sosial.

Suhaimi ketika membahaskan laporan RCI TH sebelum ini menceritakan pengalamannya ketika menjadi Ketua Umno Bahagian Jerai dan berdepan tentangan seorang menteri dalam pertandingan jawatan berkenaan.

Menurut Suhaimi, ketika pertandingan itu berlangsung, hampir 99 peratus ketua cawangan berada di Makkah.

Beliau turut mendakwa ada antara mereka yang kemudian datang menemuinya dan meminta maaf kerana berasa terhutang budi kepada menteri berkenaan.

Suhaimi berkata pengalaman tersebut menyebabkan beliau berasa kecewa ketika itu, namun memilih untuk berdoa agar suatu hari perkara yang berlaku akan terbongkar.

Pendedahan itu kini kembali menjadi perhatian selepas Hasbie mempersoalkan sama ada kemudahan berkaitan urusan ibadah haji pernah digunakan bagi mendapatkan sokongan dalam persaingan politik dalaman parti.

Jika dakwaan itu disahkan berdasarkan kandungan dan dapatan RCI, ia menimbulkan persoalan lebih besar mengenai sempadan antara kepentingan politik dengan pengurusan institusi yang menguruskan urusan haji umat Islam.

Reaksi orang ramai di media sosial turut mencerminkan kontroversi yang tercetus susulan pendedahan berkenaan.

“Ok jer asal menang ketua bahagian & menang pilihan raya. Dosa & haram tolak tepi,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi pula menyindir:

“Ok je janji bukan kafir.”

Pendedahan berkenaan menunjukkan perbahasan RCI TH bukan hanya berkisar mengenai persoalan kerugian pelaburan dan tadbir urus institusi itu, malah turut membuka kembali persoalan mengenai pengaruh politik terhadap Tabung Haji.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai penghantaran ketua-ketua cawangan ke Makkah perlu dinilai berdasarkan kandungan penuh laporan RCI serta bukti yang dikemukakan, dan tidak wajar dianggap sebagai fakta muktamad semata-mata berdasarkan dakwaan dalam perbahasan Dewan Rakyat.

BACA JUGA ‘Like’ maki MP Wawasan ini lagi banyak, Wan Fayhsal kena ‘ikan bandaraya’ selepas ajak pengkritik ngopi