SPRM dah panggil 19 orang dalam kes KWAP, tapi ‘kunci’ siasatan masih di Luar negara 

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) masih berjalan, namun setakat ini pihak berkuasa belum menemukan unsur jenayah berkaitan rasuah atau penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, 19 individu sudah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan, termasuk pegawai KWAP, Kementerian Kewangan dan Khazanah.

Namun, katanya, siasatan menyeluruh belum dapat dimuktamadkan kerana SPRM masih menunggu maklumat serta dokumen kewangan daripada institusi perbankan di luar negara.

“Sehingga hari ini sebanyak 19 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan dan dirakamkan keterangan mereka. Mereka terdiri daripada pegawai daripada KWAP, Kementerian Kewangan Malaysia dan juga Khazanah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abd Halim berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat kerana pasukan penyiasat belum melihat keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak bermakna siasatan telah dihentikan.

“Di dalam menjalankan penyiasatan kes ini, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan kerana kami mendapati belum ada keperluan melakukan tangkapan. Namun begitu, proses penyiasatan masih lagi berjalan,” katanya.

Menurutnya, pasukan penyiasat kini memberi tumpuan untuk mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi yang dikenal pasti berada di luar negara.

Abd Halim berkata, siasatan di peringkat domestik boleh dikatakan hampir selesai, manakala baki proses bergantung kepada maklumat dan keterangan dari beberapa negara luar.

Katanya, SPRM sedang melalui prosedur Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan daripada negara terbabit, termasuk Singapura dan Indonesia.

“Setakat ini boleh dikatakan penyiasatan di peringkat domestik hampir selesai, cuma kami menunggu prosedur bagi mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) daripada beberapa negara luar.

“Proses itu tidak menghadapi apa-apa masalah, cuma ia mungkin mengambil masa kerana beberapa prosedur perlu dipatuhi,” katanya.

Perkembangan itu bermakna persoalan mengenai pelaburan KWAP masih belum ditutup sepenuhnya, dengan SPRM kini menunggu ‘missing pieces’ dari luar negara sebelum dapat menentukan gambaran keseluruhan kes berkenaan.

BACA JUGA Kedah gagal teruskan rayuan, Pas jadikan ‘geng judi menang’ modal tagih undi