AMK Perlu Gerakkan Harapan, Pimpin Perubahan – Kamil Munim

FOTO BERITA: Sesi Ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda KEADILAN Saudara Kamil Munim sempena Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN (AMK) 2026 di MITC, Melaka. 13hb Ogos 2026 (Khamis)

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) perlu tampil sebagai wadah politik anak muda yang berani menggerakkan harapan, memimpin perubahan serta menawarkan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi generasi masa kini. Ketua AMK, Saudara Kamil Munim berkata, perjuangan anak muda hari ini tidak boleh hanya berlegar kepada politik kepartian, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui agenda yang menyentuh kehidupan rakyat termasuk pendidikan, kos sara hidup, perumahan, pekerjaan, teknologi dan reformasi institusi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK sempena Kongres Nasional AMK 2026 di MITC, Melaka. Menerusi ucapan bertemakan “Menggerak Harapan, Memimpin Perubahan”. Kamil menegaskan bahawa semangat Reformasi yang lahir pada 1998 perlu terus dihidupkan dengan pendekatan baharu, khususnya dalam memastikan perjuangan tersebut kekal relevan kepada generasi muda.

Menurutnya, Reformasi tidak lagi sekadar dilihat sebagai satu bentuk perlawanan politik, tetapi perlu diterjemahkan sebagai amanah untuk membina negara yang lebih adil, demokratik dan berintegriti.

Beliau turut mengajak AMK berani melakukan muhasabah terhadap kekalahan dan kelemahan lalu, selain membina keyakinan dalam kalangan anak muda Melayu serta memperkukuh kefahaman bahawa Islam yang dibawa dalam perjuangan politik mestilah berteraskan nilai rahmah.

Kamil berkata, anak muda kini berdepan pelbagai kebimbangan mengenai masa depan, termasuk tekanan kos kehidupan, peluang pekerjaan, pemilikan rumah serta perubahan teknologi yang pantas. Sehubungan itu, beliau menolak pendekatan politik yang terlalu bergantung kepada identiti dan menyeru agar politik berasaskan nilai, dasar serta penyelesaian terhadap masalah rakyat diberikan keutamaan.

Dalam ucapan dasarnya, Kamil menggariskan tujuh agenda utama yang perlu diberikan perhatian AMK. Agenda berkenaan meliputi pendidikan bagi membebaskan potensi anak muda, menangani kos sara hidup, memperluas peluang perumahan dan pemilikan, serta membina ekonomi yang menawarkan pekerjaan dan pendapatan lebih baik.

Dalam ucapan dasarnya, Kamil menggariskan tujuh agenda utama yang perlu diberikan perhatian AMK.
Agenda berkenaan meliputi pendidikan bagi membebaskan potensi anak muda, menangani kos sara hidup, memperluas peluang perumahan dan pemilikan, serta membina ekonomi yang menawarkan pekerjaan dan pendapatan lebih baik.

Turut ditekankan ialah agenda Melayu dan Bumiputera daripada pendekatan perlindungan kepada pemilikan, penguasaan ilmu, teknologi serta kecerdasan buatan (AI), selain reformasi politik bagi memulihkan kepercayaan rakyat dan memperkukuh institusi negara.

Menurut Kamil, pendekatan terhadap agenda Melayu dan Bumiputera perlu bergerak ke arah membina kemampuan serta pemilikan yang lebih kukuh, bukannya sekadar bergantung kepada perlindungan.

Dalam masa sama, AMK perlu memastikan anak muda tidak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mempunyai keupayaan menguasai ilmu, teknologi dan AI bagi memimpin masa depan negara.

Kamil turut menggariskan tujuh tekad bagi memperkukuh peranan AMK sebagai organisasi politik anak muda. Antaranya membina wadah yang dipercayai generasi muda, memperkukuh kapasiti dasar dan menjadikan AMK sebagai rujukan terhadap isu rakyat, selain membudayakan ilmu serta pembentukan kepimpinan.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh organisasi dan akar umbi, membina budaya disiplin serta integriti, memperluas politik berasaskan nilai dan kesedaran masyarakat. Menurutnya, AMK juga perlu meneruskan agenda Reformasi sambil menyediakan generasi baharu yang mempunyai keupayaan untuk mengambil alih tanggungjawab kepimpinan negara pada masa hadapan.

Kamil menegaskan, kekuatan AMK tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan saiz organisasi, tetapi melalui keupayaannya memahami denyut nadi rakyat, menghasilkan dasar yang bernilai dan membina keyakinan generasi muda terhadap politik.

Kamil menegaskan, kekuatan AMK tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan saiz organisasi, tetapi melalui keupayaannya memahami denyut nadi rakyat, menghasilkan dasar yang bernilai dan membina keyakinan generasi muda terhadap politik.

Beliau berkata, AMK perlu bergerak daripada sekadar wacana kepada gerakan yang nyata, tersusun dan berkesan supaya perjuangan Reformasi dapat terus diterjemahkan dalam kehidupan rakyat.

Mengakhiri ucapan, Kamil menyeru seluruh anggota AMK memperbaharui tekad untuk menggerakkan harapan dan memimpin perubahan, sekali gus memastikan generasi muda mempunyai ruang untuk membina masa depan yang lebih baik dalam sebuah Malaysia yang adil, demokratik dan sejahtera.
