Kaitkan dirinya dengan isu Tabung Haji, Asyraf Wajdi mula buru pemilik akaun dengan saman RM5 juta

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil langkah undang-undang terhadap beberapa pemilik akaun media sosial yang didakwanya menyebarkan fitnah serta mengaitkan dirinya dengan pelbagai isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Asyraf Wajdi yang memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018 itu berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya, Datuk Adnan Seman, untuk menyediakan dan menyerahkan Notis Tuntutan (LOD).

Untuk rekod, RCI TH meneliti pengurusan dan operasi institusi yang menjaga kepentingan hampir 10 juta pendeposit di seluruh negara itu dari tahun 2014 hingga 2020.

Menurut Pengerusi MARA berkenaan, LOD itu sebagai langkah awal bagi memulakan saman fitnah bernilai RM5 juta terhadap pemilik-pemilik akaun terbabit.

“Saya telah mengarahkan peguam saya Datuk Adnan Seman untuk menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 juta kepada pemilik-pemilik akaun yang memfitnah dan sengaja mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasi saya dengan mengaitkan dengan pelbagai isu Tabung Haji,” katanya.

Menerusi hantaran sama di Facebook, beliau turut berkongsikan imej tiga pencipta kandungan termasuk Nazri Hamdan dan pempengaruh serta dua tangkap layar daripada individu berbeza.

Berniat jahat

Pemimpin Barisan Nasional (BN) itu berkata, notis berkenaan akan mula disediakan dan diserahkan secara berperingkat bermula petang ini kepada pihak yang didakwanya berniat jahat menyebarkan dakwaan tidak benar.

“Insya-Allah, bermula petang ini, secara berperingkat Notis-Notis Tuntutan (LOD) akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik-pemilik akaun yang berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruah saya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar,” katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh itu bagaimanapun menegaskan tindakan undang-undang itu bukan bermotifkan wang, sebaliknya mahu membersihkan namanya melalui proses mahkamah.

“Bukan wang yang saya cari, tapi insya-Allah Allah akan tunjukkan kebenaran di muka pengadilan,” katanya.

Malah, Asyraf Wajdi berikrar jika mahkamah kelak memutuskan sebarang pampasan memihak kepadanya, keseluruhan wang berkenaan akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

“Sebagaimana saman-saman terdahulu, saya bertekad untuk menyalurkan setiap sen wang yang diterima dan ditentukan oleh mahkamah kelak ke Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya lagi.