LKIM santuni nelayan Jasin, salur bantuan RM50,000

FOTO BERITA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkukuh usaha menyantuni komuniti nelayan menerusi penganjuran Program Rahmah Mesra MADANI bersama nelayan kawasan Jasin di Pangkalan Nelayan Sempang, Merlimau, di sini hari ini. (Gambar: LKIM)

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 50 peserta terdiri daripada komuniti nelayan kawasan Jasin, warga kerja LKIM serta wakil Persatuan Nelayan Kawasan Jasin (PNKJ), sebagai wadah memperkukuh ukhuwah dan jaringan kerjasama bersama golongan sasar.

Pada majlis itu, Pengerusi LKIM, YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil turut menyampaikan bantuan touch point berjumlah RM50,000 kepada 36 nelayan kategori B40.

Bantuan berkenaan merangkumi sebuah enjin sangkut berkuasa 40 kuasa kuda, jaring serta minyak 2T bagi membantu meringankan beban penerima dan menyokong kelangsungan aktiviti penangkapan ikan mereka.

Muhammad Faiz berkata, penganjuran program tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan serta kesejahteraan masyarakat.

“Program ini mencerminkan komitmen berterusan LKIM untuk turun padang bagi memahami cabaran yang dihadapi nelayan.

“Melalui interaksi secara langsung, kita dapat memastikan bantuan serta sokongan disalurkan dengan lebih berkesan demi kelangsungan hidup komuniti nelayan,” katanya.
Beliau berkata,

Beliau berkata, pendekatan turun padang dan interaksi secara langsung dengan komuniti nelayan penting bagi memastikan bentuk bantuan yang disalurkan benar-benar menepati keperluan golongan berkenaan.

LKIM berharap inisiatif itu dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak pengurusan, persatuan nelayan dan komuniti setempat, sekali gus memberi impak positif terhadap usaha meningkatkan taraf sosioekonomi nelayan.

Usaha berkenaan juga diharap dapat menyumbang kepada kelangsungan serta kemampanan industri perikanan tempatan demi memastikan komuniti nelayan terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa.