‘Satu hati demi agama’, netizen tanya Pas kenapa keluar Dewan bila RCI TH dibahas
Hasrat Pas untuk kembali mengeratkan hubungan dengan Umno atas nama agama mengundang sindiran netizen.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan Pas dan Umno sebagai dua wadah besar orang Melayu-Islam yang telah lama menjadi tempat umat berteduh.
“Pas dan Umno dua rumah besar umat berteduh sejak lama.
“Jika kedua-duanya satu hati untuk agama, ia cukup sebagai tiang bangsa dan negara,” kata bekas Ahli Parlimen Bachok itu menerusi satu hantaran ringkas di Facebook.
Bagaimanapun, netizen pantas mengaitkan seruan “satu hati untuk agama” itu dengan tindakan Ahli Parlimen Pas dan sebahagian wakil pembangkang yang memilih keluar Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini.
Tindakan tersebut dihujani kecaman ramai memandangkan isu TH melibatkan kepentingan jutaan pendeposit Islam serta persoalan tadbir urus, pelaburan dan pengurusan institusi berkenaan.
Seorang pengguna Facebook, Adam Mohd secara sinis mempersoalkan kesungguhan Pas membawa naratif mempertahankan agama apabila wakil rakyatnya tidak terus berada di Dewan Rakyat ketika isu TH dibahaskan.
“Sembang pasal pertahankan agama tapi bila tiba hari perbahasan RCI TH, lebai-lebai Pas pakat keluar Dewan berjemaah. Memalukan!” tulisnya.
Mohd Yusni pula menyindir naratif penyatuan Pas-Umno apabila mengaitkannya dengan kontroversi besar yang pernah membelenggu negara dan institusi umat Islam.
“1MDB puas hati… TH puas hati walhal melingkup penyatuan…” katanya.
Bersaing merebut
Sementara itu, Fikri Abdul Aziz meramalkan kerjasama politik Pas-Umno sukar bertahan lama jika kedua-duanya kembali bersaing merebut kedudukan politik.
“Tak boleh bertahan lama. Nanti dua-dua pun berebut jawatan. Nanti keluar fatwa baru pula. Haram undi yang sana, wajib undi yang aku punya saja,” katanya.
Abdul Ghapar Jaamat pula membangkitkan soal konsistensi pendirian Pas terhadap Umno yang menurutnya sering berubah mengikut keadaan politik.
Beliau mengingatkan bahawa sebelum ini terdapat pemimpin tertinggi Pas yang memberikan alasan parti itu tidak boleh bersama Umno kerana masih terdapat kekeruhan dalam parti berkenaan.
“Pas parti yang tak konsisten dengan janji, akan berubah mengikut selera dan situasi yang menguntungkan mereka bersama.
“Kalau merugikan mereka akan U-turn, maka akan keluarlah pelbagai fatwa ikut selera Pas.
“Sebelum ini seorang tertinggi Pas mengatakan, buat masa ini Pas tidak akan bersama Umno sebab Umno ada keruhnya. Nak tanya juga Pas, habis sekarang Umno dah jernih ke?” soalnya.
BACA JUGA Keluar kerajaan nampak berani, tapi siapa sebenarnya yang untung? – Howard Lee