Anwar : Jangan terpukau prestasi ekonomi, andai rakyat masih terhimpit kos sara hidup
Anggota PKR diingatkan supaya tidak terlalu cepat berasa selesa dengan pencapaian ekonomi negara yang memberangsangkan sekiranya tekanan kos sara hidup rakyat masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ukuran sebenar prestasi ekonomi bukan semata-mata bergantung kepada angka pertumbuhan, sebaliknya perlu dilihat dari sudut kehidupan rakyat khususnya harga barangan dan kemampuan mereka memenuhi keperluan harian.
“Angka ekonomi sebenar itu berada di bawah. Sebab itu saya sentiasa turun ke warung dan gerai untuk bertanya sendiri harga barang daripada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), hari ini.
Menurut Anwar yang juga Perdana Menteri, kerajaan perlu terus memberi perhatian kepada isu asas yang dirasai rakyat walaupun negara mencatatkan prestasi ekonomi yang baik.
Beliau berkata pendekatan itu penting supaya kejayaan ekonomi tidak hanya dilihat melalui statistik, sedangkan sebahagian rakyat masih berdepan tekanan kos kehidupan.
Justeru, katanya, kerajaan meneruskan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat, termasuk meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM15 bilion setahun.
Antara langkah lain ialah pelaksanaan mingguan Jualan Rahmah MADANI serta pelarasan gaji penjawat awam sehingga 20 peratus.
Anwar berkata kerajaan akan terus mencari pendekatan yang dapat memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya dalam menangani tekanan harga barang.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anggota dan pimpinan PKR bahawa pencapaian ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan agenda tatakelola.
Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal penguatkuasaan terhadap pihak yang menyalahgunakan dana awam.
“Arahan saya jelas kepada semua agensi penguatkuasaan … ambil tindakan setegas mungkin terhadap mereka yang menyakau dana rakyat tanpa mengira kedudukan mahupun parti,” katanya.
Anwar berkata pendirian tersebut perlu menjadi sebahagian daripada budaya pentadbiran kerajaan bagi memastikan hasil negara benar-benar kembali kepada rakyat.
Kongres Nasional PKR 2026 yang bertemakan Memugar Reformasi Membina MADANI menghimpunkan lebih 5,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara, selain dihadiri pimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta wakil diplomatik asing.
BACA JUGA PKR akui terluka selepas kalah beberapa medan, Fuziah seru parti jangan hidup dalam luka