Anwar tepis persepsi beliau gaduh dengan Zahid, “Dia(KJ) jalur gaduh, saya jalur damai”

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk tidak melayan dakwaan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin(KJ) bahawa hubungan beliau dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini berada pada tahap paling rendah.

Sebaliknya, Anwar menegaskan beliau melihat hubungan dengan Zahid dari sudut mendamaikan perbezaan, bukan memperbesarkan perselisihan.

KJ sebelum ini mendakwa kepercayaan antara Anwar dan Zahid berada pada tahap terendah sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022, susulan hubungan BN-PH yang semakin mencabar selepas perkembangan politik di Negeri Sembilan.

Menjawab dakwaan itu, Anwar berkata perbezaan cara melihat politik menyebabkan sesetengah pihak cenderung membaca perkembangan semasa sebagai konflik.

“Ini peribadilah. Dan memang dia(KJ) selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai. Itu berbeza.

“Dia jalur gaduh, saya jalur damai,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, hari ini.

Menurut Anwar, beliau sendiri mengiktiraf peranan Zahid dan Umno dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Malah, katanya, penghargaan terhadap peranan Zahid itu turut dinyatakan dalam ucapan beliau.

“Sebab itu tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya tentang peranan Datuk Seri Zahid dan Umno, dan Sarawak PN dalam memeterai Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar tidak menafikan wujud perbezaan atau perselisihan pada peringkat tertentu, khususnya dalam politik negeri.

Namun, beliau menyifatkannya sebagai perkara biasa dan tidak semestinya menggambarkan hubungan antara pimpinan utama Kerajaan Perpaduan sudah retak.

“Ada gaduh. Peringkat negeri ada sikit. Biasalah,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika hubungan BN-PH menjadi perhatian susulan perkembangan politik di Negeri Sembilan, termasuk keputusan BN bekerjasama dengan PN dalam pembentukan kerajaan negeri.

Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan mengenai masa depan kerjasama BN-PH di peringkat nasional, dengan sesetengah pemimpin Umno sebelum ini secara terbuka mempersoalkan hala tuju kerjasama berkenaan.

Respons Anwar itu secara tidak langsung menepis gambaran bahawa perbezaan politik antara PH dan BN, atau antara beliau dengan Zahid, sudah sampai ke tahap tidak boleh diselesaikan.

Sebaliknya, mesej yang cuba ditekankan Anwar jelas, kalau orang lain nampak gaduh, beliau memilih untuk mencari jalan damai.

BACA JUGA RM12 bilion hilang, Anwar mahu penyakau Tabung Haji disiasat tanpa pilih bulu