Perluas kempen kesedaran ancaman scam ke kampung-kampung, apa kata orang awam?
Ancaman penipuan dalam talian bukan lagi sesuatu yang asing kepada masyarakat, namun kesedaran mengenai taktik digunakan scammer masih perlu diperkukuh terutama dalam kalangan komuniti yang bergantung kepada Internet sebagai sumber maklumat.
Seorang individu, Salleh Mahmud, berpandangan usaha memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya scam amat penting berikutan penggunaan Internet yang semakin meluas.
Menurut beliau, penyalahgunaan Internet oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh mendedahkan masyarakat kepada pelbagai bentuk penipuan.
“Terutamanya kita di luar-luar bandar ini, kita kadang-kadang kita tak sampai maklumat-maklumat tersebut. Jadi program sebegini amat baiklah dan berkesan kepada masyarakat. Jadi untuk pemahaman mereka sendiri dan juga kepada orang ramai.”
Muhamad Syakir Awang Kechik pula menasihatkan agar tidak terus mempercayai pautan atau panggilan yang diterima.
“Maksudnya sekarang ni banyak link dengan call. Yang kebanyakanlah kita dapat kan. So kalau kata ada link yang tak sepatutnya itu tak perlu. Yang rasa mencurigakan itu tak perlu untuk kita klik. Just abaikan.
Tapi jika dah terlanjur yang dah terkena, kita boleh buat laporan polis supaya back up,” katanya.
Syafinaz Shafie pula mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran di media sosial.
“Scammer ni dia macam pelbagai yang dia guna taktik. Jadi kita nak percaya kepada sesuatu yang ditawar oleh pihak-pihak tertentu, carilah pada tempat yang sebenar. Janganlah percaya hundred peratus di dalam yang duk diiklan pelbagai media sosial,” ujarnya.
Sementara itu orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, menyemak kesahihan maklumat dan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika menjadi mangsa penipuan.