Bang Mat saksi mata Anwar pejuang dan pelaksana reformasi

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan perjalanan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu perjuangan panjang untuk membawa agenda islah dan reformasi negara daripada berada di luar kerajaan sehingga kini berpeluang melaksanakannya dari dalam pentadbiran.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Bang Mat, berkata beliau sendiri menyaksikan perjalanan Anwar dalam memperjuangkan agenda berkenaan, termasuk ketika berdepan tekanan dan pelbagai cabaran politik.

“Bang Mat menjadi saksi kepada perjuangan panjang Anwar Ibrahim dalam membawa islah kepada negara,” katanya selepas menghadiri Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka.

Menurutnya, amanat yang disampaikan Perdana Menteri pada kongres itu memperlihatkan bahawa reformasi masih menjadi asas kepada pentadbiran kerajaan ketika ini.

Katanya, kejayaan membentuk kerajaan bukan penamat kepada perjuangan tersebut, sebaliknya membuka ruang untuk melaksanakan pembaharuan yang sekian lama diperjuangkan.

Mohamad berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah usaha memperkukuh tadbir urus, membanteras rasuah dan memastikan amanah rakyat tidak disalahgunakan.

“Yang sakau duit rakyat, kita lawan. Tak kira siapa, tak kira kedudukan,” katanya.

Menurutnya, pendirian itu penting bagi menunjukkan kerajaan tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan, termasuk mereka yang mempunyai pengaruh atau pernah memegang jawatan tinggi.

Beliau turut menyifatkan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai sebahagian daripada agenda reformasi, khususnya dalam memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak terus dihormati.

Namun, katanya, agenda islah tidak seharusnya terhenti pada perubahan undang-undang atau struktur pentadbiran semata-mata.

Sebaliknya, pembaharuan perlu diterjemahkan kepada perubahan yang boleh dirasai rakyat melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti serta usaha menangani tekanan kos sara hidup.

Mahasiswa juga dapat ‘nafas’ reformasi

Mohamad turut menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), yang dilihatnya memberikan ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara dan bergerak.

Katanya, keputusan itu menunjukkan kerajaan bersedia mendengar tuntutan generasi muda yang telah lama memperjuangkan kebebasan serta ruang demokrasi di kampus.

Bagi Mohamad, perjalanan Anwar daripada tokoh utama gerakan Reformasi kepada Perdana Menteri kini memasuki fasa paling mencabar membuktikan perjuangan itu melalui dasar, pentadbiran dan tindakan.

“Reformasi bukan sekadar slogan. Kita sudah diberi amanah. Sekarang masa untuk kita buktikan dengan kerja dan tindakan,” katanya.

Mohamad berkata selepas bertahun-tahun memperjuangkan perubahan dari luar kerajaan, Anwar kini mempunyai ruang lebih besar untuk menterjemahkan agenda tersebut dari dalam pentadbiran.

Katanya, perjuangan itu perlu diteruskan sehingga manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, bukan sekadar menjadi catatan dalam sejarah politik negara.

BACA JUGA Tujuh ditahan SPRM susulan isu RCI TH, dua direman