Sultan Terengganu selamat jalani rawatan, kini berehat

Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dilaporkan selamat menjalani rawatan dan kini sedang berehat.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, hari ini.

Menurut kenyataan itu, keadaan berkenaan adalah dengan kehendak dan rahmat Allah SWT serta berkat doa seluruh rakyat.

“Alhamdulillah adalah dimaklumkan dengan kehendak dan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua serta dengan berkat doa seluruh rakyat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah selamat menjalani rawatan dan sedang beristirehat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sultan Mizan menzahirkan penghargaan dan rasa terharu kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraan baginda.

Baginda turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada masjid, surau, institusi tahfiz, alim ulama, pemimpin masyarakat, badan organisasi serta individu yang menganjurkan solat hajat dan bacaan Yasin untuk baginda.

Menurut kenyataan itu, Sultan Mizan dan keluarga amat menghargai segala doa serta usaha yang dilakukan rakyat.

“Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja yang membalasnya,” menurut kenyataan berkenaan.

Pejabat Sultan Terengganu turut memohon agar Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik dan berpanjangan kepada baginda serta mempermudah segala urusan.

BACA JUGA RM12 bilion hilang, Anwar mahu penyakau Tabung Haji disiasat tanpa pilih bulu