Zafrul mahu sistem Tabung Haji diperkukuh, elak sejarah berulang

Isu Tabung Haji tidak seharusnya dilihat sekadar melalui angka kerugian atau tunggakan, sebaliknya perlu menjadi pengajaran untuk memastikan sistem yang menjaga simpanan jutaan pendeposit tidak mengulangi kelemahan sama pada masa depan.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pengalaman lalu menunjukkan pentingnya mekanisme semak dan imbang yang kukuh apabila sesebuah institusi menguruskan dana dalam jumlah besar milik rakyat.

Menurutnya, antara perkara yang membimbangkan ialah wujudnya amaran mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji sejak 2014, namun pembayaran hibah masih diteruskan sehingga 2017.

“Masalahnya bukan tak ada amaran. Masalahnya amaran itu tidak diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan pengawasan kewangan terhadap institusi seperti Tabung Haji perlu dibuat secara lebih teliti tanpa mengganggu fungsi utamanya dalam menguruskan urusan haji.

Bukan Bank Negara urus haji

Zafrul berkata ketika menjadi Menteri Kewangan, beliau menyokong pengawasan kewangan Tabung Haji yang lebih teliti oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Namun, katanya, peranan itu bukan bermaksud BNM mengambil alih pengurusan urusan haji.

“Bukan untuk Bank Negara urus haji, tapi bila melibatkan puluhan bilion ringgit simpanan pendeposit, mesti ada semak dan imbang yang cukup kuat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan syor RCI Tabung Haji perlu dipantau secara terbuka.

Menurutnya, 75 peratus daripada 22 syor RCI dilaporkan sudah dilaksanakan, manakala baki syor perlu diselesaikan dan statusnya dimaklumkan dengan jelas kepada rakyat.

“Mana yang dah selesai, mana yang masih berjalan, dan bila ia akan diselesaikan,” katanya.

Zafrul turut menegaskan bahawa usaha memperbaiki sistem tidak bermakna aspek pertanggungjawaban terhadap kejadian lalu boleh diketepikan.

Katanya, Tabung Haji telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan siasatan sedang berjalan.

“Kalau ada salah laku, siasat. Kalau cukup bukti, ambil tindakan. Tak kira siapa,” katanya.

Beliau berkata, pertukaran kepimpinan politik atau pengurusan tidak sepatutnya menjejaskan sistem perlindungan terhadap wang pendeposit.

“Pengerusi boleh bertukar, Menteri boleh bertukar, kerajaan pun boleh bertukar. Tapi sistem yang menjaga duit pendeposit mesti kekal kuat.”

Menurut Zafrul, perkara itu penting kerana wang Tabung Haji bukan sekadar angka dalam laporan kewangan, sebaliknya merupakan hasil simpanan rakyat biasa yang dikumpulkan sedikit demi sedikit dengan impian untuk menunaikan ibadah haji.

“Ini bukan sekadar angka. Ini duit orang yang simpan RM50, RM100, sedikit demi sedikit bertahun-tahun dengan satu harapan nak sampai ke Tanah Suci.”

BACA JUGA Tak boleh ada parti dalam parti, dua nakhoda satu kapal’ – Nurul Izzah seru PKR kalis fraksi