Harta umat rugi berbilion, asatizah dan ulama perlu berani sentuh isu Tabung Haji secara terbuka

Pengulas ekonomi, Ahmad Faizuddin Razali menyifatkan kemelut Tabung Haji (TH) yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit adalah krisis amanah umat Islam yang jauh lebih besar daripada sekadar pertikaian politik atau angka dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Berucap dalam Persidangan Khas Ulamak & Agamawan yang membincangkan isu Tabung Haji, beliau berkata, masyarakat Islam cukup sensitif apabila berdepan perkara yang jelas dihukum haram seperti isu babi.

Namun tidak memberi reaksi sama apabila membabitkan soal kehilangan harta umat akibat salah urus dan kegagalan amanah dalam Tabung Haji.

“Orang kita tak nampak integriti sebagai amanah. Mereka cuma nampak babi saja haram. Tapi hilanglah RM10 bilion ke apa, mereka tak kisah. Perlu ditekankan dalam isu TH ini, ada berlaku aktiviti haram,” katanya.

Faizuddin berkata, sekadar menyebut isu berkenaan sebagai “RCI Tabung Haji” mungkin menyebabkan sebahagian masyarakat tidak memahami betapa seriusnya isu pecah amanah yang sedang dibicarakan.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan pihak yang cuba menafikan bahawa wujudnya elemen pengkhianatan dan salah laku dalam episod kerugian TH.

“Siapa yang cakap tak ada sakau? Kehancuran TH disebabkan pemain politik dan orang-orang korporat. Kerugian yang ditanggung adalah RM10 bilion. Boleh buat 100 sekolah,” katanya.

Faizuddin kemudian menyeru golongan asatizah dan ulama supaya mempunyai keberanian untuk menyentuh isu tersebut secara terbuka.

Menurutnya, kehancuran institusi umat akibat gagal menjalankan amanah tidak boleh dianggap isu kecil.

“Kehancuran TH disebabkan orang Islam sendiri, bukan non-Muslim. Nama amanah itu tak ada. Saya seru asatizah, ulama untuk ada keberanian singgung isu TH ini. Isu tidak amanah ini jauh lebih buruk kesannya. Isu TH adalah isu umat Islam yang sangat serius,” katanya.