Lepas persidangan khas RCI TH, ulama-agamawan bakal gerakkan penerangan kepada masyarakat
Gerakan penerangan mengenai dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dirancang untuk diperluaskan ke masjid, surau serta institusi pendidikan di seluruh negara bagi membantu masyarakat memahami isu membabitkan amanah harta umat Islam.
Usaha itu dijangka akan digerakkan susulan Persidangan Khas Ulama & Agamawan: Hifz al-Mal yang membincangkan isu RCI Tabung Haji.
Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, alim ulama dan agamawan akan memainkan peranan membantu masyarakat memahami dapatan RCI melalui masjid, surau, sekolah, jabatan kerajaan, kolej, universiti serta ruang pendidikan masyarakat.
Gerakan tersebut membawa matlamat supaya fakta mengenai RCI Tabung Haji diterangkan kepada masyarakat
“Matlamatnya jelas, fakta mesti diterangkan, amanah mesti dipertahankan dan penyelewengan terhadap harta umat tidak boleh dibiarkan berulang.
“Tabung Haji adalah amanah umat. Menjaganya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mujahid berkata, prinsip Hifz al-Mal, iaitu menjaga dan melindungi harta, menjadi asas penting kepada perbincangan mengenai Tabung Haji memandangkan institusi itu menguruskan simpanan jutaan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Beliau berkata, isu berkaitan RCI Tabung Haji juga perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi aspek agama, kewangan, ekonomi, perakaunan, perundangan, tadbir urus serta amanah dalam menjaga harta umat.
Persidangan khas yang berlangsung di De Palma Hotel, Ampang siang tadi menghimpunkan lebih 100 alim ulama dan agamawan dari seluruh negara.
Program berkenaan digerakkan Sekretariat Ulama Malaysia bersama Mursyid al-’Am Majlis Ulama Malaysia, Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman.
Selain agamawan, persidangan itu turut melibatkan panel daripada pelbagai latar belakang termasuk akauntan bertauliah, pengulas ekonomi, pengamal undang-undang, asatizah serta ulama pondok.
Antara pengisian utama ialah sesi “Merungkai RCI Tabung Haji” yang membincangkan dapatan RCI daripada sudut profesional, selain sesi “RCI Tabung Haji: Kebangkitan Ummah dan Ulama” yang memberi tumpuan kepada peranan agamawan serta masyarakat dalam mempertahankan amanah umat.
BACA JUGA Undi selesai, majoriti perwakilan sokong DAP kekal dalam kerajaan