AMANAH mahu tiada lagi mahasiswa jadi mangsa kerana bersuara

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik hasrat Kerajaan MADANI untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, sambil berharap tidak ada lagi mahasiswa menjadi mangsa tindakan hanya kerana berani bersuara.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, universiti sepatutnya menjadi ruang mahasiswa belajar mengemukakan pandangan, mengkritik dasar, berbeza pendapat serta mempertahankan hujah berdasarkan ilmu dan fakta.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Ogos lalu mengenai hasrat memansuhkan AUKU merupakan satu lagi tonggak penting dalam agenda reformasi institusi dan pendidikan tinggi negara.

“Mahasiswa tidak sepatutnya berdepan tindakan tatatertib semata-mata kerana pandangan politik atau pandangan mereka terhadap sesuatu isu masyarakat.

“Pemansuhannya harus menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada budaya mempercayai dan memperkasa mahasiswa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar pada 15 Ogos lalu mengumumkan pemansuhan AUKU dengan cadangan itu akan dibawa ke Kabinet 19 Ogos ini.

Untuk rekod, AUKU sebelum ini sudah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaru pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Penambahbaikan Seksyen 15A AUKU pula membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa-apa cara, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

Ruang mahasiswa

Mengulas lanjut, Azli berkata, selama lebih lima dekad, AUKU menjadi sebahagian daripada kerangka perundangan yang mengawal ruang mahasiswa untuk berpersatuan, bersuara, berpolitik dan berinteraksi dengan masyarakat.

Malah katanya, sekatan di bawah akta berkenaan pada suatu ketika tidak hanya terhad dalam kawasan kampus, sebaliknya turut membabitkan penglibatan mahasiswa dengan parti politik, pertubuhan dan aktiviti di luar universiti.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mengingatkan sejarah gerakan mahasiswa pada era 1970-an apabila golongan itu tampil membangkitkan isu kemiskinan, harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial, termasuk ketika Peristiwa Baling 1974.

Azli turut merujuk kes empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan berhubung penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010.

Kes itu kemudiannya menjadi antara pertikaian penting berkaitan hak mahasiswa di bawah AUKU.

“Kita mungkin berbeza pandangan terhadap tindakan atau pendekatan mahasiswa ketika itu. Namun, mahasiswa yang prihatin terhadap masalah rakyat adalah aset dan bukan ancaman kepada negara.

“Mahasiswa mesti diberikan ruang untuk belajar demokrasi melalui pengalaman sebenar,” katanya.

Sekatan politik

Menurut Azli, pindaan terhadap AUKU pada 2012 yang melonggarkan beberapa sekatan politik terhadap mahasiswa merupakan langkah penting, tetapi perkembangan selepas lebih sedekad menunjukkan reformasi pendidikan tinggi tidak seharusnya berhenti pada pindaan kecil semata-mata.

Katanya, pemansuhan penuh AUKU perlu menjadi titik permulaan kepada pembentukan kerangka baharu yang lebih demokratik, matang serta memberikan autonomi lebih besar kepada universiti dan mahasiswa.

“Universiti mesti kembali menjadi medan intelektual yang baik, bukan universiti yang hanya melahirkan graduan yang memperoleh keputusan cemerlang.

“Universiti yang baik melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis, menguji sesuatu idea, berbeza pendapat secara matang, mempertahankan hujah berdasarkan fakta, memahami masalah masyarakat dan menawarkan penyelesaian kepada negara,” katanya.

Sehubungan itu, AMANAH menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memastikan kerangka baharu selepas pemansuhan AUKU memberi penekanan kepada jaminan kebebasan bersuara, hak berpersatuan dan proses tatatertib yang telus.

Ia termasuk menyediakan mekanisme rayuan yang berkesan serta membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus.

“AMANAH menyokong sepenuhnya hasrat ini dan berharap kerajaan akan meneruskannya sehingga universiti Malaysia benar-benar menjadi medan ilmu yang bebas berkarya dan bersuara, demokratik dan bertanggungjawab,” kata Azli lagi.

BACA JUGA Pemuda AMANAH sedia khidmat guaman pro bono kepada penerima LOD Asyraf Wajdi