Karnival Merdeka Komuniti Wangsa Maju 2026 perkukuh semangat kemasyarakatan dan patriotisme

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Karnival Merdeka Komuniti Wangsa Maju 2026 bakal berlangsung pada 30 Ogos ini di Perkarangan Parkir Blok A, Flat Danau Kota, Wangsa Maju, sebagai usaha memperkukuh semangat kemasyarakatan, kesejahteraan dan patriotisme dalam kalangan rakyat setempat.

Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 12.10 tengah malam itu dianjurkan bersama Pertubuhan Angkatan Lestari Pembangunan Harapan Anak Muda (ALPHA) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Flat Danau Kota, dengan sokongan Pakatan Harapan, khususnya Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan dan Angkatan Wanita KEADILAN Wangsa Maju serta rakan strategik.

Karnival berkenaan memberi tumpuan kepada manfaat langsung kepada komuniti menerusi pelbagai pengisian meliputi kesihatan, kesejahteraan rakyat, kos sara hidup, kebajikan, perpaduan dan patriotisme.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan mata, saringan awal kanser, Senam Zumba Komuniti, Jualan RAHMAH, Jualan AGROMADANI, edaran Jalur Gemilang serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Sebanyak 200 pengunjung terawal turut akan menerima kupon bernilai RM10 seorang untuk digunakan bagi pembelian di Jualan RAHMAH dan Jualan AGROMADANI.

Ketua Angkatan Muda Harapan Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Muhammad Faris Arriffin berkata, pendekatan turun padang berkenaan mencerminkan nilai yang dibawa Kerajaan MADANI, Pakatan Harapan dan AMANAH dalam memastikan manfaat dasar serta inisiatif kerajaan lebih dekat dengan masyarakat.

“Bagi kami dalam AMANAH dan Pakatan Harapan, politik perlu diterjemahkan kepada khidmat, amanah dan penyelesaian, tambah beliau.

“Kerajaan MADANI menyediakan dasar dan pelbagai inisiatif untuk rakyat, manakala di peringkat akar umbi tanggungjawab kita ialah membantu memastikan manfaat tersebut lebih dekat, mudah dicapai dan benar-benar dirasai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, semangat kemerdekaan juga perlu diterjemahkan melalui usaha membina kehidupan rakyat yang lebih sejahtera, membuka peluang lebih luas serta membentuk masyarakat yang lebih bersatu.

Sementara itu, Pengasas ALPHA, Ashraff Hussni berkata, program komuniti merupakan ruang untuk anak muda dan masyarakat terlibat secara langsung dalam usaha menyelesaikan isu setempat, bukannya sekadar menjadi pemerhati.

“Sebagai NGO anak muda, ALPHA percaya perubahan boleh bermula daripada perkara yang sangat dekat dengan masyarakat. Kita turun ke komuniti, dengar keperluan mereka dan hubungkan pihak yang boleh membantu.

“Kita mahu lahirkan lebih ramai anak muda yang bukan hanya bercakap tentang masalah, tetapi sanggup menjadi sebahagian daripada penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara ALPHA, KRT Flat Danau Kota, Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Angkatan Wanita KEADILAN Wangsa Maju dan rakan strategik membuktikan pembangunan komuniti lebih berkesan apabila pelbagai pihak berkongsi peranan serta kekuatan masing-masing.

Karnival itu turut menampilkan Panel Bicara Merdeka bertajuk “Merdeka Yang Sebenar: Bagaimana Nilai Islam, Ekonomi dan Perpaduan Membentuk Masa Depan Negara” yang dikendalikan Ashraff Hussni.

Panel berkenaan menampilkan Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT), Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan; wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zainurizzaman Moharam atau Zack Rockstar; serta penganalisis pasaran dan pemerhati politik, Faiz Ahmad.

Pada sebelah malam, program diteruskan dengan aktiviti mesra keluarga termasuk Pertandingan Baju Beragam Kanak-kanak, Pertandingan Karaoke Merdeka serta sambutan menjelang Hari Kebangsaan bersama komuniti.

Orang ramai, khususnya penduduk Wangsa Maju dan kawasan sekitar, dialu-alukan hadir bersama keluarga bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan, jualan dan aktiviti yang disediakan sepanjang karnival.