MP PN dedah idea pembangkang ‘walkout’ sidang khas RCI Tabung Haji datang daripada Hamzah
Seorang pemimpin Bersatu yang digantung keahliannya mendakwa, tindakan sebahagian besar pembangkang bertindak keluar Dewan ketika sesi sidang khas membahaskan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji sebelum ini, sebenarnya telah dirancang.
Ahli politik itu mendakwa idea untuk pembangkang bertindak keluar Dewan sebenarnya bermula daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Perkara itu didedahkan menerusi satu perbualan di media sosial, yang disertai pemimpin politik berkenaan yang difahamkan adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.
Beliau turut mendakwa, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah menghadiri taklimat di pejabat Umno sebelum sidang khas berlangsung.
Menurutnya, taklimat itu mungkin menjadi antara faktor yang membawa kepada keputusan pembangkang untuk tidak berbahas dan bertindak keluar dari Dewan.
“Saya tahu apa yang berlaku sangat memberi imej tidak baik kepada kita. Cuma idea nak buat benda ini sebenarnya bermula daripada ketua pembangkang.
“Saya tak tahu apa agenda beliau. Tapi sebelum itu sebenarnya Ketua Whip, Datuk Seri Takiyuddin menghadiri taklimat di pejabat Umno,” katanya.
Menurutnya, Ahli-Ahli Parlimen Umno telah diberikan penerangan dan taklimat di pejabat parti itu pada 10 Ogos lalu, dengan Takiyuddin turut hadir dalam taklimat berkenaan dan mengetahui perkara yang dibincangkan.
“Jadi Datuk Takiyuddin hadir dan mengetahui apa yang berlaku sebenarnya di dalam taklimat tersebut.
“Jadi mungkin kesan daripada hal tersebut menyebabkan keputusan diambil untuk tidak berbahas atau kita walk out daripada penerangan RCI tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, pemimpin itu berkata, beliau tidak mengetahui agenda di sebalik keputusan berkenaan.
“Jadi apa agenda di sebalik itu saya tidak berapa faham. Cuma apabila diarahkan secara kolektif supaya kita walkout, walaupun nama telah dihantar, maka kita akur dengan apa yang berlaku,” katanya.
BACA JUGA Anak muda teruja dapat beli tiket F1 MADANI harga murah, ‘Terima kasih PMX!’