Pelaburan KWSP rancak, pendapatan melonjak 48% kepada RM57.5 bilion
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya melonjakkan pendapatan pelaburannya sebanyak RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 48% berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2025.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, pendapatan pelaburan dana persaraan itu meningkat 44 peratus kepada RM29.77 bilion daripada RM20.61 bilion pada suku sama tahun lalu.
Prestasi pada suku dikaji itu disokong terutamanya oleh ekuiti apabila kelas aset berkenaan menjana pendapatan RM20.94 bilion pada suku kedua, meningkat 52 peratus daripada RM13.77 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global sepanjang suku berkenaan memberikan peluang kepada pengurus dana untuk merealisasikan keuntungan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
Sentimen pelabur turut bertambah baik apabila kebimbangan terhadap harga tenaga semakin reda serta keyakinan yang kekal kukuh terhadap “kitaran super” kecerdasan buatan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ekuiti menyumbang 70% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.
Instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.91 bilion, merangkumi 23% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada S2 2026.
Sekuriti Kerajaan Malaysia terus memberikan pulangan yang stabil dan berdaya tahan, berperanan sebagai komponen defensif utama dalam portfolio ketika berdepan ketidaktentuan pasaran.
Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.30 bilion pada S2 2026, manakala instrumen Pasaran Wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.62 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.
Jumlah aset pelaburan pula mencecah RM1.54 trilion, dengan 39% daripadanya dilaburkan di peringkat global.
Pelaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM19.29 bilion, merangkumi 65% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah masing-masing adalah RM24.16 bilion dan RM5.61 bilion.
BACA JUGA Anak muda teruja dapat beli tiket F1 MADANI harga murah, ‘Terima kasih PMX!’