Termenung memanjang Pemuda Pas, netizen ungkit pula KB Sentral hingga Amanat Hadi
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pas Kawasan Marang, Ahmad Fahmi Mokhtar nampaknya masih belum habis ‘termenung’.
Dia yang pernah menjadi AJK Penerangan Pemuda Pas Terengganu itu termenung sejak petang semalam hingga malam tadi lantaran beberapa perkembangan politik semasa.
Mulanya, dia mengaku termenung susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hasrat memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Malam tadi, bekas pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu kembali membuat hantaran dengan memaklumkan beliau “termenung lagi”.
Kali ini, dua perkara menjadi puncanya.
“Malam ini termenung lagi. Tadi dah termenung. Malam ini termenung atas dua sebab.
“Satu, Anwar duk kata TH ni ada sakau. Hari ini Anwar kata teruskan hubungan dengan Umno.
“Daku termenung,” tulisnya.
Ahmad Fahmi kemudian beralih kepada perkembangan melibatkan DAP yang menurutnya sebelum ini memberi gambaran seolah-olah parti itu bakal meninggalkan kerajaan.
“Dua, sebelum ini kalau tengok ucapan pimpinan DAP, dah keluar kerajaan dah patutnya. DAP Melaka pun dah keluar. Ayoyo.
“Eh, alih-alih tak jadi keluar. Dua kali termenung,” katanya.
Sebelum itu, Ahmad Fahmi turut membuat hantaran panjang mengenai pengumuman Anwar berhubung pemansuhan AUKU.
Namun, bukannya terus menyambut baik pengumuman tersebut, beliau mengaku masih berasa waswas kerana ia baru diumumkan dan belum dilaksanakan.
“Termenung aku bila dengar Anwar kata akan mansuhkan AUKU. Aku termenung bukan terbayangkan zaman-zaman mahasiswa dulu.
“Aku termenung sebab beberapa soalan,” katanya.
Antara yang dipersoalkannya ialah sama ada pengumuman Anwar itu boleh dipercayai kerana menurutnya Perdana Menteri baru menyatakan AUKU “akan dimansuhkan”.
Ahmad Fahmi turut mempersoalkan pengumuman tersebut dibuat di pentas politik dan membangkitkan keraguannya terhadap rekod kenyataan Anwar sebelum ini.
Namun, hantaran ‘termenung’ Ahmad Fahmi itu mengundang pelbagai sindiran warganet termasuk secara sinis berharap projek KB Sentral dan LRA Sungai Limau siap.
“Nak termenung jugak. Semasa perbahasan RCI Tabung Haji di mana kalian?” soal netizen.
Malah, ada yang mengingatkan kembali tentang Amanat Haji Hadi pada 7 April 1981 di Banggol Peradong, Terengganu.
Dalam amanat itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa Pas melawan Umno kerana kerajaan mengekalkan Perlembagaan, undang-undang kafir, dan peraturan jahiliyah peninggalan penjajah.
“Aku termenung tiba-tiba dalil keluar halal undi parti yang dukung undang-undang penjajah.
“Jadi, yang mati lawan BN sebelum ini syahid ke mati katak?” tempelak pengguna Facebook, Mohd Anuar.