Beda pandangan soal judi, jangan terus tuduh orang kufur – Dr Maza

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan supaya perbezaan pandangan berhubung dasar kerajaan terhadap bukan Islam tidak dijadikan alasan untuk menuduh seseorang sebagai menghalalkan judi.

Menurutnya, hukum judi bagi umat Islam adalah jelas iaitu haram dan tidak ada pihak dalam perbahasan berkenaan yang menyatakan sebaliknya.

Dr Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, menuduh seorang Muslim tidak mengharamkan judi dalam pengertian syarak membawa implikasi besar terhadap akidah seseorang.

“Menyatakan seseorang tidak mengharamkan judi dalam erti kata syarak bermakna dia mengkafirkan orang itu. Menghalalkan judi itu kufur,” katanya.

Beliau berkata, persoalan mengenai sama ada aktiviti judi perlu dilarang sepenuhnya terhadap bukan Islam pula merupakan isu berbeza yang melibatkan aspek pentadbiran serta perbahasan fiqh.

Menurutnya, terdapat pandangan dalam kalangan ulama yang mengiktiraf hak bukan Islam terhadap harta dan amalan tertentu yang diharamkan kepada umat Islam.

Katanya, antara pandangan yang dibincangkan termasuk dalam Mazhab Hanafi yang mengambil kira kedudukan harta milik bukan Islam dalam persoalan berkenaan.

Sebagai contoh, Dr Maza menjelaskan seseorang Muslim tidak boleh sewenang-wenangnya memusnahkan arak milik bukan Islam hanya kerana arak itu haram bagi umat Islam.

Ini kerana, katanya, barangan berkenaan tetap mempunyai nilai dan kedudukan sebagai harta kepada pemilik bukan Islam.

Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam isu seperti itu sepatutnya dibahaskan berdasarkan ilmu dan hujah, bukannya digunakan untuk melabel pihak lain sebagai sesat atau menuduh mereka menghalalkan perkara yang haram.

Peringatan itu dilihat penting terutama dalam perbahasan politik yang sering mencampurkan persoalan hukum agama dengan dasar pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, perbezaan pandangan mengenai pendekatan kerajaan terhadap masyarakat bukan Islam tidak semestinya bermaksud seseorang itu menolak hukum haram dan halal yang ditetapkan syarak.

Dalam nada tegas, beliau mengingatkan supaya isu akidah dan hukum tidak dipermudah sehingga tuduhan berat dibuat hanya berdasarkan perbezaan pendirian politik atau pentadbiran.

Politik boleh berbeza dan perbahasan boleh berlangsung dengan keras, namun soal menghukum akidah seseorang tidak wajar dijadikan senjata politik.

BACA JUGA Menang kalah PRN bukan alasan tarik diri – Khaled tegaskan BN kekal bersama kerajaan